Wakil etnik Rohingya, Husna Begum Md Hussain menerima sumbangan duit raya dan barangan makanan keperluan asas daripada sukarelawan untuk diagihkan kepada keluarga Rohingya.


TUJUH tahun bersatu hati sebagai kumpulan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan suatu yang menjemukan bagi mereka untuk terus bergabung tenaga bagi membantu keluarga miskin dan asnaf dalam kalangan etnik Rohingya di Ampang, Selangor.

Pada Ramadan setiap tahun mereka akan berusaha mengumpulkan dana sumbangan pelbagai pihak serta individu prihatin untuk membeli barangan makanan keperluan asas bagi diagihkan kepada keluarga etnik berkenaan.

Jurucakap kumpulan itu, Dr Melor Mohd Mansor, berkata, program itu yang sudah dilaksanakan sekian lama boleh dianggap sebagai antara aktiviti sukarelawan NGO terbabit menabur bakti dalam kerja amal kebajikan sempena Ramadan.


Dr Melor Mohd Mansor (kiri) melakukan gimik penyerahan barangan sumbangan pelbagai pihak dan individu kepada wakil etnik Rohingya.


Menurutnya, program berkenaan juga secara tidak langsung mempelawa pelbagai pihak termasuk individu prihatin berkongsi rezeki membantu dalam kalangan keluarga etnik itu dengan menghulurkan sumbangan barangan atau kewangan.

Tambahnya, bakti murni itu seharusnya tidak disalahertikan kerana usaha berkenaan juga selaras aspirasi Malaysia Madani bagi  membela nasib mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.

Jelasnya lagi, atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan dia bersama-sama ahli sukarelawan NGO terbabit bergading bahu tanpa jemu setiap tahun mengumpul dana dan barangan untuk dimanfaatkan keluarga etnik terbabit yang hidup terpencil di ibu kota.

Mereka itu adalah pelarian di bawah UNHCR, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang turut mendapat perhatian daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) bagi membantu Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya bagi mendidik lebih 70 murid anak etnik berkenaan.


Dr Melor (berdiri, empat dari kiri) bersama-sama sukarelawan dan sebahagian barangan makanan keperluan asas yang disumbangkan pelbagai pihak serta individu prihatin untuk keluarga etnik Rohingya di Ampang, Selangor.


“Kehidupan keluarga etnik ini memang daif dan mereka wajar dibantu bukan setakat dari segi barangan makanan keperluan asas tetapi juga pakaian terpakai, kain selimut, pampers pakai buang untuk kanak-kanak dan sebagainya. 

“Ini juga menjadi harapan kepada kami semua supaya sambutan hari raya dalam kalangan keluarga etnik terbabit tetap meriah seperti rakyat Malaysia walaupun serba kekurangan,” ujarnya yang ditemui pada majlis penyerahan sumbangan barangan makanan keperluan asas dan wang hari raya di Ampang, Selangor pada 16 April 2023.


Wakil sukarelawan, Aishah Ahmad menyerahkan sumbangan untuk pengurusan sekolah pendidikan etnik Rohingya kepada Husna Begum.


Sementara itu, sukarelawan dari Yayasan Pendidikan Khalifah, Ustaz Muhamad Qayyum, berkata yayasan berkenaan sudah lima tahun terbabit secara langsung bergabung dengan sukarelawan pelbagai NGO membantu keluarga etnik Rohingya berkenaan.

Menurutnya, dia terpanggil bagi berkongsi rezeki dan mengumpulkan dana serta sumbangan daripada penginfak untuk menyediakan pelbagai barangan makanan keperluan asas untuk diagihkan kepada keluarga etnik itu.

Jelasnya, ada dalam kalangan ahli daripada keluarga etnik itu memerlukan sokongan dan bantuan kerana ada sesetengah mereka uzur dan tidak mampu untuk bekerja bagi mencari sumber rezeki bagi menyara keluarga.

Tambahnya, sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya menghulurkan bantuan untuk mereka tanpa mengira bangsa kerana dalam kesenangan kita hidup dalam negara yang aman damai ada mereka mengharapkan kebaikan daripada insan-insan lain.

“Bukan setakat membantu keluarga etnik ini, kami di yayasan sentiasa bergabung dengan pelbagai NGO bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan apabila ditimpa musibah termasuklah bencana alam,” katanya yang turut hadir pada majlis berkenaan. - KitaReporters


 

Etnik Rohingya memberi kerjasama membungkus barangan makanan keperluan asas yang akan diagihkan kepada keluarga mereka.

27
15
0
16
0

Copy Link: