Penawar hidup! Teruja dapat kembali cintakan al-Quran! Warga emas dirai pada Majlis Khatam Al-Quran!
Published byMembaca al-Quran memberi fadhilat besar antaranya mendapat ganjaran 10 pahala bagi setiap huruf, menjadi syafaat pada hari khiamat serta memberikan ketenangan jiwa.
Di samping itu juga mengangkat darjat pembacanya menjadi cahaya kehidupan, melindungi hati daripada ‘karat’ dan diangkat darjatnya oleh Allah SWT.

Hilmi Abdul Malek (kiri) bersama rakan warga emas PJMM yang menyertai Majlis Khatam Al-Quran.
Mengambil iktibar perkara yang bermanfaat itu pada kala nyawa di hujung senja dan bagi mengelak terus hidup diselubungi kesedihan tanpa kesudahan, 20 warga emas yang menjadi penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, akhirnya berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran.
Kegigihan mereka itu diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran PJMM yang dipimpin bekas imam Masjid Kariah Batu 3, Jalan Bangi, Semenyih, Husrin Amat, yang turut dihadari pelbagai ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 10 Mac 2026.

Sebahagian warga emas wanita PJMM yang terpilih mengikuti Majlis Khatam Al-Quran.
Pegawai
Agama PJMM, Ustaz Safii Salleh, berkata kegigihan warga emas terbabit untuk
membaca al-Quran setiap hari sehingga habis 30 juzuk amat mengagumkan, walaupun
dalam keadaan keuzuran dan sukar untuk bergerak, namun tidak mematahkan semangat
mereka termasuk dalam kalangan mualaf.
Menurutnya,
mereka diajar bermula daripada mengenal huruf, memperbetul bacaan berserta
tajwid yang tepat tidak sedikit pun menunjukkan reaksi malu dengan rakan-rakan apabila
tersalah sebut sesuatu huruf itu, malah tidak membantah kerana terpaksa
mengulang sebutan beberapa kali.
Tambahnya,
perkara itu berlaku mungkin ada antara warga emas terbabit tidak pernah mengaji
atau sudah lama meninggalkan untuk membaca al-Quran kerana beberapa faktor
terutama kesihatan dan keuzuran disamping dibebani masalah kehidupan.
Jelasnya, bagi mualaf kita sudah faham masalah mereka dan terpaksa mengajar dengan penuh ikhlas serta bersabar supaya akhirnya mereka dapat membaca dengan lancar bagi mencintai kalamullah yang dipelajari supaya menjadi panduan hidup.

Ustaz Safii Salleh (kiri) menyantuni Husrin Amat yang memimpin Majlis Khatam Al-Quran.
“Tidak
dinafikan juga sebahagian warga emas ini memberi tumpuan lebih kepada mendengar
serta menghafal untuk menguatkan ingatan apa yang diajar kerana ada antara
mereka menghadapi masalah penglihatan semakin kabur kerana penyakit serta uzur.
“Saya dengan dibantu oleh dua ustazah iaitu Ustazah Salmah Mohd Sani dan Ustazah Rodiah Che Daud sudah sekian lama tetap gigih mengajar mereka dan bersabar menjawab apa sahaja soalan yang ditanya apabila warga emas terbabit tidak jelas pendengarannya,” ujar Ustaz Safii.

Sakiah Tomijan rajin mengikuti kelas mengaji al-Quran walaupun menghadapi masalah penglihatan.
Manakala Ustazah Salmah berkata, mengajar warga emas itu perlu kesabaran yang tinggi bermula daripada membaca Iqra untuk membolehkan mereka mengenal huruf dan bagi yang sudah agak mahir kerana ada pengalaman mengaji sebelum ini akan membantu memulihkan ingatan.
Tambahnya, ketika mengikuti kelas mengaji mereka memberi tumpuan amat baik malah akan bertanya untuk mengulangi sebutan yang betul dan ketika itu wajah mereka menunjukkan keceriaan apabila boleh menyebut dengan tepat.
Jelasnya,
walaupun kelas mengaji itu hanya dua kali seminggu namun sebahagian besar warga
emas terbabit sering mengaji sendiri ketika menunggu waktu masuk atau selepas
solat di surau malah saling menegur antara satu sama lain.
“Saya kagum dengan warga emas terutama yang belum pernah mengaji, manakala mereka sudah lama tidak membaca al-Quran ini sentiasa bersemangat mengikuti kelas mengaji dan sesetengahnya pula memang sudah kembali mahir membaca al-Quran,” katanya.

Husrin menyerahkan sumbangan cenderamata kepada warga emas selepas Majlis Khatam Al-Quran.
Seorang
warga emas ditemui, Hilmi Abdul Malek, berkata dia bersyukur dengan inisiatif
PJMM mewujudkan kelas pengajian al-Quran itu kerana dia kini sudah kembali
mahir untuk membaca al-Quran selepas tidak memberi tumpuan kerana masalah
kesihatan.
“Dengan
bimbingan ustaz dan ustazah ini saya akhirnya menamatkan bacaan 30 juzuk
al-Quran dan majlis khatam yang diadakan bukan penamat untuk membaca al-Quran,
malah saya akan mengulang-mengulang serta membaca selalu al-Quran kerana
menjadi penawar meredakan stres dipinggir oleh keluarga,” ujarnya.
Bagi Sakiah
Tomijan pula, beliau berkata walaupun kelas mengaji itu hanya dua kali seminggu dia
tidak melepaskan peluang untuk mendalami semula kemahiran membaca al-Quran
di samping memastikan dirinya tetap hadir walaupun menghadapi masalah
penglihatan serta terpaksa berjalan perlahan-lahan kerana uzur.
“Saya berterima kepada mereka yang mengajar saya terutama ustaz dan ustazah yang tidak menunjukkan rasa jemu malah tetap rajin serta bersemangat memberi tunjuk ajar walaupun terpaksa mengulang sebutan beberapa kali untuk membetulkan bacaan kami,” terangnya. - KitaReporters

Warga emas PJMM mengikuti Majlis Khatam Al-Quran yang dipimpin bekas imam Masjid Kariah Batu 3, Jalan Bangi, Semenyih, Husrin Amat.
