MEMENUHI tanggungjawab sosial dan kebajikan, UMNO Bahagian Batu Pahat, Johor turun padang menghulurkan bantuan kepada 36 keluarga mangsa ribut dan tiga keluarga yang dikuarantin berikutan wabak Covid-19. Mangsa ribut membabitkan empat rumah di Kampung Linau Kecil Simpang Kanan, 10 rumah Taman Seri Jaya dan 22 rumah di Taman Megah, Jalan Kluang, Batu Pahat. : KitaReporters


Zaidi Jappar (tengah) bertanyakan sesuatu kepada seorang penduduk yang menjadi mangsa ribut.


Lagi kisah-kisah berkaitan ribut:

https://kitareporters.com/search?search=ribut


Sebahagian besar rumah penduduk mengalami kerosakan teruk apabila bumbung rumah tercabut selepas dipukul kuat ribut berkenaan yang melanda kampung dan taman perumahan itu pada Selasa 17 November 2020.

Pengerusi Teraju Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mat Tap, berkata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Zaidi Jappar melawat mangsa berkenaan pada Rabu, 18 Novermber 2020 untuk menghulurkan sumbangan awal bagi membantu meringankan bebanan mereka.



Zaidi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan UMNO Bahagian Batu Pahat kepada seorang mangsa ribut.


Menurutnya, pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) dan Baitulmal daerah Batu Pahat serta penghulu mukim turut hadir bersama Zaidi untuk melihat kerosakan dan kerugian yang dialami mangsa ribut itu bagi menentukan bantuan yang perlu disalurkan.

“Dalam keadaan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bencana ribut itu memberi kesan kepada keluarga terbabit dan UMNO Batu Pahat akan berusaha menghulurkan bantuan sewajarnya selepas ini,” katanya ketika dihubungi.


Mohd Hamidi Mat Tap (dua dari kanan) sedang berbincang dengan Zaidi mengenai bantuan berikutnya yang akan disalurkan kepada mangsa ribut itu.


Beliau yang juga merangkap Pengerusi Kebajikan Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) Penggaram, berkata dalam lawatan seterusnya Zaidi bersama-sama ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Batu Pahat yang juga ahli JPKD Penggaram, Suraya Abdul Kahar menziarah tiga keluarga yang dikuarantin berikutan wabak Covid-19.

Menurut Mohd Hamidi, tiga keluarga yang menyewa rumah dan tinggal berjiran di kampung berkenaan dikuarantinkan apabila salah seorang daripada ahli keluarga terbabit positif Covid-19 dan mendapatkan rawatan di hospital daerah itu.


Suraya Abdul Kahar (kanan) menyampaikan sumbangan barangan makanan asas kepada keluarga yang dikuarantin kerana Covid-19.


Katanya, kunjungi itu bagi menyampaikan bantuan barangan makanan asas seperti beras, sardin, tepung gandum, minyak masak dan gula berikutan mereka terputus bekalan makanan selepas dikenakan kuarantin di rumah lebih seminggu lalu.

“UMNO Bahagian Batu Pahat dan JPKD Penggaram berharap ada individu dan pertubuhan bukan kerajaan untuk tampil menghulur sumbangan bantuan kepada keluarga mangsa ribut dan Covid-19,” kata Mohd Hamidi.


Mohd Hamidi (kanan) membantu mengangkat Sain ke dalam ambulan untuk dibawa pulang berehat di rumah.


Sementara itu, ahli JPKD Penggaram berjaya membantu seorang penduduk dari Kampung Parit Botak, Batu Pahat, Sain Karjan, 80, yang uzur untuk dibawa pulang berehat di rumah menggunakan ambulans pihak swasta.

“Sain dinasihatkan oleh pihak Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk dibawa pulang selepas mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan di kepala kerana terjatuh di rumah. 

“Kami terpaksa mendapat bantuan ambulans dari luar berikutan kemudahan ambulans di hospital ini terpaksa digunakan untuk tugas lain yang lebih penting,” katanya.  - KitaReporters


Mohd Hamidi bersama ambulan yang diusahakan UMNO Bahagian Batu Pahat untuk membawa Sain pulang ke rumahnya di Kampung Parit Botak, Batu Pahat.

21
1
2
0
0

Copy Link: