Seketika Bersama, Sahabat Selamanya! Reunion Skuad 1/89 Pulapol KL! Santuni rakan ditimpa musibah!
Published byJasa seseorang anggota polis (PDRM) itu amat besar dalam menjamin keamanan negara, menjaga keselamatan rakyat serta melindungi sempadan darat dan perairan tanpa mengira penat lelah yang menuntut mereka mengorbankan masa di samping tenaga.

Menggadaikan
nyawa untuk memastikan ketenteraman awam terus terpelihara secara tidak
langsung juga mewujudkan serta membina hubungan erat antara anggota polis
terbabit dalam memikulkan tanggangungjawab dan amanah untuk negara bersama.
Justeru tidak hairanlah apabila terciptanya hubungan begitu akrab antara anggota polis itu sebagai rakan karib setugas yang sejati apabila sanggup menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran secara bersama, saling membantu demi untuk kesejahteraan serta keamanan negara.
Kenangan yang terindah ketika bertugas bersama apabila menempuhi pelbagai rintangan serta halangan diratapi serta diimbaukan kembali 80 anggota polis pada program kali keempat Reunion Skuad 1/89 Pulapol Kuala Lumpur di The Payang Scout Hotel, Kuala Terengganu bersempena ulang tahun yang ke-37 dalam perkhidmatan PDRM, yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 April 2026.

Zawi Awang berucap pada majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat.
Pengerusi program, Asisten Superintenden Polis (ASP) bersara (B), Zawi Awang, berkata program itu yang bertemakan ‘Seketika Bersama, Sahabat Selamanya’ menghimpunkan semula rakan-rakan seperjuangan setelah sekian lama terpisah, sekali gus mengeratkan kembali ukhuwah yang terjalin sejak bermula zaman latihan di Pulapol.
Menurutnya, program penuh meriah itu yang turut disertai sebahagian isteri dimulakan dengan acara bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang diketuai Sarjan (B) Abdul Wahab Ismail, sebagai tanda kesyukuran serta mengenangkan kembali sahabat yang sudah meninggal dunia asbab pelbagai faktor termasuk masalah kesihatan.
Tambahnya, acara itu menimbulkan suasana hening di samping mengusik emosi kesedihan dan penuh keinsafan menyelubungi setiap bekas anggota polis yang hadir serta memberikan ruang kepada mereka semua untuk bermuhasabah diri dan menghargai ikatan persahabatan yang masih terjalin.

Timbalan Pengerusi program, SI (B) Zainal Mohd Noah (berdiri, dua dari kanan) bersama rakan menyantuni anggota polis yang ditimpa musibah kesihatan.
Jelasnya, serentak itu juga diadakan program lawatan kebajikan ke rumah beberapa sahabat yang uzur serta menghadapi masalah kesihatan sekali gus inisiatif berkenaan mencerminkan semangat keprihatinan dan solidariti dalam kalangan ahli skuad itu untuk memberi sokongan moral kepada rakan yang ditimpa musibah.
“Kemuncak program
itu berlangsungnya acara Malam Grand Dinner (Makan Malam Perdana) dalam suasana penuh nostalgia dan
kegembiraan dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuklah persembahan
hiburan, penyampaian cenderahati serta cabutan bertuah disamping penghargaan
kepada mereka yang banyak menyumbang kepada penganjuran reunion kali ini.
“Reunion ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengimbau kenangan lama sejak zaman mula mengikuti latihan asas polis di Pulapol malah memperkukuh lagi ukhuwah serta semangat perpaduan dalam kalangan anggota skuad 1/89,” ujarnya.

Abdul Wahab Ismail (kanan) mengetuai bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat.
Sementara itu, Sub-Inspektor (SI) (B), Che Azman Che Hassan menyifatkan program berkenaan amat terkesan apabila dapat bertemu kembali dengan rakan setugas yang berganding bahu dalam melaksanakan tugas demi mewujudkan keamanan negara.
Menurutnya, banyak peristiwa suka duka kami tempuhi bersama sebagai anggota polis dalam membenteras jenayah supaya masyarakat dapat meneruskan kehidupan dengan selesa dan berasa selamat walaupun berada di mana sekali pun.
Rakannya, SI (B) Zulkifli Senu, berkata dia berasa bersyukur dapat bertemu rakan-rakan setugas walaupun keadaan kudrat tidaklah sekuat ketika mula menjalani latihan asas polis di Pulapol dulu yang ketika itu mampu untuk melompat tinggi dan bertenaga berlari beberapa kilometer.
“Ini semua
menjadi kenangan terindah kami apabila dapat bertemu dalam program sebegini
untuk mengenangkan kembali sejarah lalu apabila memikul tanggungjawab sebagai
anggota polis yang penuh berdisiplin.
“Pada program ini juga memberi peluang kepada kami untuk menyantuni anggota polis termasuk mereka yang sudah bersara untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan kerana ditimpa musibah dan sebagainya,” kata beliau. - KitaReporters

Sebahagian daripada 80 bekas anggota polis yang menyertai program kali keempat Reunion Skuad 1/89 Pulapol Kuala Lumpur berpelukan sebelum berpisah.

Zawi (duduk barisan kedua lima dari kiri) merakamkan kenangan bersama 80 bekas anggota polis dan isteri masing-masing.
