PENERAPAN nilai kemanusiaan kepada generasi muda bagi memupuk kasih sayang dan sifat hormat menghormati kepada golongan yang berusia serta memerlukan belaian kasih sayang menjadi objektif sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2023.

Pengarah Cawangan Pembangunan Potensi Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Marina Nafi, berkata membentuk nilai murni dalam kalangan generasi muda itu penting supaya amalan baik dapat pula membentuk kesedaran tinggi terhadap golongan warga emas khususnya ibu bapa untuk dijaga serta disantuni dengan sempurna.


Pelajar KPJ Healthcare University mendengar taklimat pembahagian tugas daripada ketua mereka.


Sehubungan dengan itu, menurutnya, perkara berkenaan juga antara salah satu pengisian sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia adalah menyantuni warga emas bagi melahirkan serta menggalakkan sukarelawan daripada setiap lapisan masyarakat menyanjungi mereka yang sudah lanjut usia.

Tambahnya, sukarelawan terutama dalam kalangan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran, berprihatinan dan bertanggungjawab amat wajar mempunyai sikap saling bantu membantu serta peka dengan keadaan sekeliling kerana masih ada mereka yang memerlukan perhatian dan pembelaan daripada mereka.


Pelajar KPJ Healthcare University membersih habuk dalam bilik warga emas yang terlantar kerana keuzuran.


“Apabila mereka dapat bersatu dan sering bekerjasama secara tidak langsung meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung pusat jagaan dibawah kendalian serta pengurusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) apabila terpaksa mencari dana sendiri untuk terus beroperasi seperti Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM).

“Untuk makluman Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia tahun ini diadakan sempena Sambutan Hari Sukarelawanan Antarabangsa yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 5 Disember 2023 setiap tahun,” ujarnya ketika berucap pada majlis Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia yang diadakan di PJMM, Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, pada10 Disember 2023.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah JBSN, Kementerian Belia dan Sukan, Mohd Azhari Mohammad; Timbalannya (Bahagian Pembangunan Rakan Muda), Syamsul Tahrin Mohd Tahir; Pengerusi Malaysian Medical Aid Society (MMAS), Hanafi Jalalludin; dan Pengerusi serta Penasihat PJMM, Azman Rasman serta Mohiadin Bahado.


Mohd Azhari Mohammad dan Syamsul Tahrin Mohd Tahir (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama pelajar KPJ Healthcare University dan IKBN Peretak pada program sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2023 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor pada 10 Disember 2023.


Pada program itu 33 pelajar KPJ Healthcare University, Nilai, menyantuni warga emas dengan melakukan pemeriksaan kesihatan dan penjagaan diri seperti memotong kuku, manakala 30 pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Peretak, Kuala Kubu Bharu pula menyempurnakan tugasan mengunting rambut, mengemas & membersih pusat jagaan serta Noor Azura dari Melaka menyiapkan lukisan dan mengecat mural dengan dibantu pelajar terbabit.

Marina berkata, dengan pembabitan pelajar dari dua pusat pengajian itu ‘Sesi Menyantuni Jiwa’ akan memberi impak mendalam kepada semua yang hadir bagi menyumbang tenag, sekali gus menjadikan ibrah (pengajaran) yang berguna untuk menjadi insan yang terbaik.

“Memberi pendedahan tentang elemen kepedulian mengenai masyarakat sekeliling dan mendidik nurani akan kepentingan berkasih sayang serta saling menghormati sesama insan merupakan impak yang banyak manfaat dalam membentuk generasi muda yang berwawasan serta bertanggungjawab,” ujarnya.


Hanafi Jalalludin beramah mesra dan memberi kata-kata semangat kepada pelajar IKBN Peretak.


Sementara itu, Hanafi yang berucap pada majlis itu, melahirkan rasa kagum dengan kehadiran pelajar yang merupakan Rakan Muda untuk menyantuni warga emas serta menyelami kehidupan mereka tersisih di pusat jagaan berkenaan.

“Saya berasa terharu mereka begitu bersemangat melakukan tugas sukarela serta tidak berasa kekok melayani karenah warga emas pelbagai peringkat umur dan sikap sedemkian seharusnya dikekalkan disamping diteruskan apabila menjadi sebahagian masyarakat selepas tamat belajar,” katanya.


Azman Rasman, Marina Nafi dan Hanafi Jalalludin melihat gelanggang badminton yang ditaja pembinaannya oleh JBSN.


Manakala Azman pula berkata, PJMM tiada masalah untuk berkolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk pusat pengajian tinggi, kolej serta agensi kerajaan bagi menghantar pelajar atau pelatih untuk mengikut latihan pratikal dan sebagainya. 

Tambahnya, pusat berkenaan mempunyai kemudahan yang cukup bagi pelajar atau pelatih mendalami pengetahuan mengenai pengurusan warga emas, mengkaji permasalahan mereka yang berusia lanjut dan meneliti kemudahan berseuaian untuk penghuni uzur dan sukar bergerak.

“Bagi melaksanakannya, ini sudah pasti memerlukan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bagi mengelak sebarang perkara berbangkit serta prosedur yang disediakan atau perlu dipatuhi sepanjang berada di PJMM,” katanya lagi.


Nisha Hanim Hisyamudin dan Mas Farahana Natasya Mohd Sam terharu melihat warga emas yang uzur disisih oleh ahli keluarga.


Bagi dua pelajar KPJ Healthcare University yang ditemui, Nisha Hanim Hisyamudin dan Mas Farahana Natasya Mohd Sam, berkata mereka kali pertama berkunjung ke pusat jagaan warga emas seperti PJMM itu dan berasa amat terharu melihat mereka yang disisih ahli keluarga atau hidup sebatang kara. 

“Kami berasa bertuah dapat hadir di sini yang memberi peluang mempelajari cara mengurus warga emas serta mengambil hati mereka untuk melakukan sesuatu terutama apabila hendak membuat pemeriksaan kesihatan,” ujar mereka

Dua pelajar IKBN Peretak, Nurin Jazlina Aida Amran dan rakannya Azlia Allysa Mohmad Nasri pula berkata program yang dijalankan itu membolehkan mereka mempraktikan lagi kerja berpasukan terutama apabila berdepan dengan situasi penuh emosi seseorang warga emas.

“Apabila memasuki ke bilik menempatkan warga emas yang uzur untuk melakukan kerja mengemas serta pembersihan, mereka yang terlantar atau duduk di atas katil tersenyum menerima kehadiran kami bagaikan dikunjungi anak atau saudara yang lama dirindui,” kata mereka. - KitaReporters


Nurin Jazlina Aida Amran (dua dari kanan) dan Azlia Allysa Mohmad Nasri (kiri) melihat buku cerpen kisah benar penghuni Mahmudah berjudul Terkulai Di Senja Hari yang banyak memberi pengajaran.


Pelajar IKBN Peretak merakam kenangan dengan seorang warga emas yang mendapatkan khidmat  mengunting rambut.

23
7
0
13
1

Copy Link: