Terbaiklah Geng Ipar Duai! Gigih bantu keluarga miskin, asnaf di Pasir Mas! Kongsi rezeki Ramadan!
Published bySuka membantu dengan bersedekah memberi sumbangan wang atau barangan asas keperluan harian pada bulan Ramadan sangat dituntut kerana akan membawa keberkatan besar dan melipatgandakan pahala.

Suami isteri daripada keluarga miskin menerima sumbangan bakul makanan.
Amalan seperti memberi makan kepada orang berpuasa menjanjikan ganjaran puasa yang sama tanpa menguranginya di samping memupuk empati, mengeratkan silaturahim, ukhuwah serta meningkatkan ketakwaan dan sifat pemurah.
Mengambil kesempatan itu, sekumpulan adik-beradik yang mengelarkan diri mereka Geng Ipar Duai dari Kampung Kubang Palas Luar, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan sudah melakukan aktiviti membantu keluarga miskin dan asnaf setiap bulan Ramadan sejak tiga tahun lalu -- 2023.

Asnaf Norazizan Ali gembira menerima sumbangan bakul makanan daripada Geng Ipar Duai.
Ketua geng itu, Muhamad Mahamud, berkata apabila masuk bulan Ramadan, dia akan menguar-uarkan kepada ipar duai yang berada di seluruh negara yang berminat untuk menyumbangkan wang bagi bersedekah kepada keluarga memerlukan bantuan keperluan hidup.
Tambahnya, kebiasaan usaha itu tidak menjadi masalah malah
ipar duainya yang bertugas sebagai kakitangan awam, swasta dan sebagainya
sentiasa bersedia menghulurkan bantuan sebagai tanda sokongan, juga ada yang
berhajat mengagihkan wang zakat mereka.
Menurutnya, dengan jumlah wang terkumpul itu, beliau bersama isteri Nur Azian Ismail akan membeli barangan asas keperluan harian di kedai-kedai sekitar bandar Kota Bharu untuk dibungkus sebagai sumbangan bakul makanan.

Nor Azian Ismail menghulurkan sumbangan bakul makanan dan duit raya kepada seorang penerima.
“Pada kebiasaan setiap bakul makanan ini kami mengisi beras,
minyak masak, tepung gandum, gula, telur dan beberapa barangan lagi yang amat
diperlukan sepanjang bulan Ramadan dan jika ada lebihan wang akan disertakan
bersama sumbangan itu,” ujarnya.
Mengenai mencari keluarga miskin dan asnaf, Muhamad berkata,
dia akan berhubung dengan pemimpin masyarakat atau dalam kalangan mereka yang
prihatin untuk mengenal pasti keluarga terbabit supaya sumbangan yang
dihulurkan itu menepati sasaran.
Jelasnya, mereka melakukan aktiviti itu bukan bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai atau bersaing dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah lama terbabit dengan program sedemikian, tetapi sebagai sedekah kami ipar duai membantu keluarga yang mungkin tercicir sebagai penerima bantuan.

Seorang ahli keluarga asnaf bersama sumbangan bakul makanan yang diterimanya.
Menurut beliau, untuk tahun 2026, Geng Ipar Duai sudah memilih 13
keluarga miskin dan asnaf sekitar kampung pedalaman di Jajahan Pasir Mas untuk
menerima sumbangan bakul makanan yang sudah diagihkan sejak 3 Mac 2026 lalu.
Jelasnya, ada dalam kalangan penerima sumbangan itu, mereka
yang menghadapi masalah kesihatan seperti kencing manis, diserang strok, hilang
tempat bergantung selepas suami meninggal dunia apabila terpaksa hidup dalam
serba kekurangan.
"Saya dan ipar duai mezahirkan ucapan alhamdulillah dapat membantu meringankan bebanan keluarga terbabit dan berharap usaha murni ini dapat menjadi contoh kepada orang ramai untuk turun padang menghulurkan sumbangan dengan kata lain jenguklah, santunilah mereka sedemikian,” ujarnya.

Seorang asnaf yang menghadapi masalah kesihatan menunjukkan sampul duit raya dan bakul makanan.
Seorang asnaf penerima sumbangan itu, Norazizan Ali,
menitipkan rasa bersyukur menerima bantuan bakul makanan daripada Geng
Ipar Duai kerana dapat meringankan bebanannya menyiapkan keperluan makanan
harian.
Menurutnya, dia bersama-sama anak hanya makan sekadar yang
ada, jika mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak khususnya wang tunai
bolehlah dia membeli barangan makanan yang diinginkan anak.
Seorang lagi penerima, Roslina Yahya yang menghidap strok
dan bergantung hasil jualan air tebu diusahakan suaminya berasa terharu
menerima sumbangan itu yang boleh menampung untuk bekalan makanan hariannya.
“Saya tidaklah mengharapkan sumbangan yang terlalu mewah kerana masih ramai lagi keluarga kurang bernasib baik sepertinya dan apa yang diterima itu sudah lebih baik supaya tidak terputus bekalanan makanan,” katanya.

Roslina Yahya yang menghidap strok menerima sumbangan dari wakil Geng Ipar Duai, Nor Azian.
