Majlis Aidilfitri membabitkan anjuran alumni sesebuah sekolah khasnya dengan menamakan pula pelbagai program itu dengan menarik bagi mengembalikan nostalgia banyak memberi manfaat penting yang bukan setakat untuk memperkukuhkan hubungan sosial tetapi secara tidak langsung bagi pembangunan profesional dan institusi.


Sebahagian alumni berbual mesra dengan kawan-kawan yang belajar di SMK Haji Abdul Rahman Limbong.


Aktiviti yang diadakan pada majlis itu akan menjadi platform terbaik untuk mengeratkan kembali hubungan ukhuwah antara alumni, bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan membina jaringan profesional yang berpotensi membawa peluang kerjaya atau perniagaan.

Kesempatan sedemikian digunakan oleh 200 alumni iaitu bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Abdul Rahman Limbong atau dulunya dikenali SMK Manir, Terengganu dari tahun 1985 hingga 1990 untuk pertama kali bertemu pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri, Tautan Ukhuwah, yang diadakan di dewan sekolah berkenaan pada 23 Mac 2026.


Pelbagai juadah disediakan pada majlis berkenaan.


Pengerusi majlis itu, Sabri Salleh, berkata hasil usaha gigih ahli jawatankuasa yang ditubuhkan berjaya mengumpul alumni yang berkerjaya dalam pelbagai bidang seperti kontraktor, kakitangan kerajaan seperti guru, swasta, menjalankan perniagaan sendiri dan suri rumah yang sekian lama tidak bertemu mata.

Menurutnya, majlis itu berjaya mengeratkan kembali ukhuwah antara alumni yang ada sebahagian besar mereka tidak bertemu lebih 30 tahun dan kini berjanji untuk memperkukuh hubungan supaya kekal berpanjangan malah menjadi tetamu penting jika ada majlis keramaian keluarga seperti perkahwinan anak dan sebagainya.

Tambahnya, pengukuhan ukhuwah dan jaringan persahabatan itu tanpa mengira perbezaan tahun ketika belajar di sekolah berkenaan kerana ada sesetengah pula bersekolah tidak lama di SMK Haji Abdul Rahman apabila terpaksa mengikut keluarga berpindah ke negeri lain.


Sabri Salleh menyampaikan ucapan mengalu-alukan kedatangan alumni SMK Haji Abdul Rahman Limbong.


Jelasnya, walaupun hanya tempoh waktu berkawan tidak lama, namun apabila bertemu dalam majlis itu mereka dapat mengimbau kenangan zaman persekolahan serta berkongsi pengalaman hidup selepas tamat belajar di sekolah berkenaan kerana ada antaranya berjaya meneruskan pengajian ke universiti atau luar negara.

“Majlis itu secara tidak langsung membina platform terbaik untuk berkomunikasi antara alumni dan kerjasama bagi aktiviti pada masa akan datang disamping memupuk semangat kebersamaan dan kekitaan dalam kalangan kami seperti melalui sambutan Aidilfitri ini,” ujarnya.


Tiga alumni merakamkan kenangan selepas dapat berjumpa kembali pada majlis itu.


Sementara itu seorang alumni, Md Yasin Embong, menitipkan rasa bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, mereka dapat berkumpul pada hari yang penuh bermakna dan waktu terbaik pada sambutan Aidilfitri kerana memberi kesempatan untuk berrmaaf-maafan.

Menurutnya, walaupun sibuk bersama ahli keluarga khususnya anak dan cucu meraikan Aidilfitri namun tetap dapat meluangkan masa seketika untuk bertemu kawan lama satu persekolahan dahulu yang mungkin terpaksa merenung lama untuk mengembalikan ingatan serta mengenali semula raut wajah.

“Mungkin juga ada antara kami yang keletihan kerana terpaksa bersesak di jalan raya untuk sampai ke kampung, namun apabila dapat bertemu pada majlis ini terpancar wajah kegembiraan dan bergenang air mata apabila dapat bersalaman dengan rakan lama yang menyemarakkan lagi kemeriahan menyambut Aidilfitri,” katanya. - KitaReporters


Sabri Salleh (tengah di belakang) bersama-sama Ahli Jawatankuasa Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri, Tautan Ukhuwah.

11
10
1
11
2

Copy Link: