Bantu rakan ditimpa sakit, musibah! 80 bekas pelajar SYS, Batu Gajah kumpul bantuan dalam perjumpaan!

Published by
KitaReporters


MAJLIS perjumpaan semula 80 bekas pelajar kumpulan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 85, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf atau lebih dikenali dengan Sultan Yussuf School (SYS), Batu Gajah, Perak diakhiri dengan menyantuni lima sahabat yang ditimpa musibah.

Lima bekas pelajar SYS itu menghidap penyakit seperti  angin ahmar, kencing manis, darah tinggi, kanser serta menziarah keluarga seorang daripada mereka yang baharu meninggal dunia dan keputusan dibuat selepas dipersetujui dalam majlis perjumpaan berkenaan di sebuah hotel di Ipoh, Perak pada 26 Februari 2023.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan alumni atau bekas pelajar

Sebahagian bekas pelajar kumpulan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 85, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sultan Yussuf atau lebih dikenali dengan SYS, Batu Gajah, Perak merakamkan kenangan selepas majlis perjumpaan pada 26 Februari 2023.


Pengerusi Ahli Jawatankuasa majlis itu, Alias Ahmad, berkata beliau mengetuai wakil bekas pelajar SYS menziarah rakan terbabit dengan menghulurkan sumbangan hasil derma rakan yang hadir pada majlis perjumpaan berkenaan sebagai amal kebajikan.

Menurutnya, mereka yang hadir majlis pada berkenaan turut berasa sedih dengan nasib menimpa lima rakan itu kerana tidak dapat berjumpa pada perjumpaan bagi mengimbaukan kembali kenangan susah payah menimba ilmu di SYS.

Tambahnya, apabila nasib yang menimpa lima rakan itu dimaklumkan dalam perjumpaan berkenaan ramai kelihatan sugul dan sedih serta mengesyor kutipan sumbangan dilakukan bagi meringankan bebanan yang ditanggung.


Alias Ahmad (dua dari kanan) mengunjungi keluarga rakan bekas pelajar SYS yang baharu meninggal dunia.


“Situasi ini tidak menjejaskan perjumpaan yang sudah dirancang sekian lama bagi menghimpunkan kembali rakan-rakan selepas berpisah hampir 38 tahun ketika sama-sama bersengkang mata mengulang kaji pelajaran untuk menduduki SPM 1985,” ujarnya.

Majlis perjumpaan itu didahulukan dengan bacaan doa, tahlil diikuti acara deklamasi sajak, perkongsian pengalaman silam dan terkini, bertukar cenderahati, cabutan bertuah serta diakhiri minum petang sambil sembang santai.

Alias berkata, sebagai sekolah yang majmuk SYS mengandungi pelajar berbilang kaum dan agama seperti Melayu, Cina, India dan Sikh manakala hubungan harmoni pada masa itu tetap utuh dan ramai daripada mereka berjaya dalam pelajaran.


Alias (kanan) menyampaikan sumbangan bekas pelajar SYS kepada seorang rakan yang uzur.


Menurutnya, dalam perjumpaan berkenaan rata-rata yang sudah mencecah usia 55 tahun berjaya dalam pelbagai bidang profesional, penjawat awam, usahawan, ahli perniagaan dan sebagainya bertukar cerita menarik selepas lama berpisah.

Ujarnya, perjumpaan berkenaan turut mengukuhkan kembali persahabatan serta ukhuwah yang terjalin pada zaman persekolahan subur kembali walaupun masing-masing meninggalkan kampung halaman di Batu Gajah.


Seorang bekas pelajar SYS yang menghadapi masalah penglihatan turut menerima sumbangan daripada rakan.


Tambah beliau, pada perjumpaan itu juga semua rakan SYS dapat mengetahui kisah sedih menimpa rakan seperti sakit dan meninggal dunia serta menjadi asnaf menyebabkan sesetengah melahirkan rasa sedih dan segera mengsyorkan supaya dikumpul dana bagi meringankan bebanan keluarga yang ditanggung. 

“Pada akhir perjumpaan ini sesetengah rakan yang hadir mencadangkan supaya ditubuhkan satu persatuan supaya ketetapan hala tuju dapat dilakukan terutama dalam membantu rakan atau keluarga mereka yang ditimpa musibah,” katanya. - KitaReporters


Alias (duduk tengah) bersama-sama Ahli Jawatankuasa Penaja majlis perjumpaan bekas pelajar SYS.

44
14
0
11
0

Copy Link: