PIHAK Pengurusan Pusat Pengajian Tahfiz Ibnu Abbas, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor terharu menerima sumbangan bantuan kewangan bagi menampung kos pengendalian pusat itu dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang ini. : KitaReporters



Pengerusi kumpulan warga bersara itu, Ahmad Zaki Rasid (kanan) mendengar penerangan Ustaz Munhameer mengenai pusat tahfiz itu.


Lagi cerita-cerita berkaitan pusat tahfiz

https://kitareporters.com/search?search=tahfiz


Sumbangan RM4,000 hasil pungutan derma Kumpulan Warga Bersara Komuniti Zon Suadamai dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu yang prihatin berikutan masalah kewangan dihadapi pusat tahfiz itu bagi membiayai pelbagai kos pengurusan. 

Pusat tahfiz itu yang dibuka lebih dua tahun lalu mempunyai 50 pelajar, 20 pelajar adalah merupakan mereka dalam kalangan keluarga asnaf serta anak yatim dan dibimbing oleh lima tenaga pengajar sepenuh masa.

Seorang tenaga pengajar pusat itu, Ustaz Munhameer Yusuf melahirkan rasa bersyukur dengan keprihatinan kumpulan warga bersara  terbabit yang bersusah payah mengadakan kutipan derma berkenaan bagi meringankan bebanan pusat tahfiz terbabit.


Pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Ibnu Abbas bersama-sama tenaga pengajar mereka.


“Sumbangan ini secara tidak langsung mengakrabkan lagi hubungan silaturahim pusat tahfiz dengan penduduk di BTHO. Beberapa badan kebajikan juga ada menghulurkan bantuan berupa barangan asas makanan seperti beras, gula dan tepung gandum sepanjang PKP.

“Kami juga dalam proses mencari lokasi yang sesuai bagi membina bangunan baharu termasuk jika ada mereka yang sudi mewakafkan tanah untuk dibangunkan sebagai pusat tahfiz dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas,” kata Ustaz Munhameer yang juga Imam Rawatib Surau As-Siddiq BTHO.


Pelajar pusat tahfiz sedang berkumpul di dewan utama untuk mengikut program agama.


Pengerusi kumpulan warga bersara terbabit, Ahmad Zaki Rasid, berkata selepas mendapat berita mengenai pelbagai kesulitan pusat tahfiz itu termasuk berikutan pelaksanaan PKP dia bersama-sama beberapa warga bersara mendapat idea melancarkan pungutan derma berkenaan.

Menurutnya, menerusi beberapa kumpulan WhatsApp perkara itu diuar-uarkan dan tidak menjangkakan berjaya memungut derma sebanyak itu yang disumbangkan dalam kalangan jemaah Surau As-Siddiq, sahabat dan ahli keluarga di Zon Suadamai, Arca, Primaya dan sebagainya.


Ustaz Munhameer sedang memberi kuliah agama kepada pelajarnya. 


“Sumbangan itu juga sebagai saham akhirat kami serta tanda sokongan kepada pusat tahfiz itu apabila pelajarnya selalu mengimarahkan masjid atau surau dan terbabit dalam pelbagai aktiviti agama seperti majlil tahlil di rumah penduduk.

“Kami akan teruskan inisiatif mengadakan pungutan derma ini dan berharap mendapat sokongan daripada penduduk termasuk menghulurkan bantuan dalam bentuk barangan asas makanan selain menaja pelajar tahfiz yang kurang berkemampuan,” katanya.


Pelajar yang datang dari pelbagai negeri sentiasa tekun mengikuti pengajian agama.


Maklumat lanjut dan sebarang sumbangan ikhlas termasuk wang zakat boleh disalurkan ke nombor akaun CIMB 86033 46867 (Pusat Pengajian Tahfiz Ibnu Abbas) atau boleh menghubungi Ustaz Munhameer Yusuf - 011377 43342. : KitaReporters

71
1
1
1
0

Copy Link: