Sepuluh adik beradik arwah Buang Ahmad dan Maimunah Abd Hadi memotong kek sebagai gimik pelancaran Program Hari Keluarga mereka.


DALAM mengekalkan hubungan baik serta memahami susur galur keluarga waris Allahyarham Buang Ahmad dan Allahyarhamah Maimunah Abdul Hadi, satu Program Hari Keluarga diadakan buat kali kelima di Mess Greysands PDRM Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 17 Disember 2023.

Program yang sudah disusun sejak beberapa bulan itu juga kali pertama berlangsung di luar negeri kelahiran ahli keluarga berkenaan yang rata-rata berasal dari Melaka dalam mencari kelainan selain mendapat persetujuan ramai.

Program yang bertemakan ‘Kita Satu Hati Di Port Dickson’ menghimpunkan 200 ahli keluarga daripada 10 adik-beradik yang masih ada membabitkan cucu, cicit dan piut berumur antara empat bulan dan 85 tahun hadir untuk memeriahkan hari keluarga itu.


Seramai 200 waris arwah Buang Ahmad dan Maimunah merakamkan kenangan selepas Program Hari Keluarga kali kelima di Mess Greysands PDRM Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 17 Disember 2023. 


Penyelaras program berkenaan, Saadullah Mas’od, berkata pemilihan lokasi itu untuk hari keluarga berkenaan memandangkan Mess Greysands PDRM Si Rusa mempunyai kemudahan yang sesuai untuk aktiviti keluarga termasuk kemudahan penginapan selain ramai ahli keluarga berkhidmat dalam pasukan PDRM.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran program kali kelima itu, tiga keluarga iaitu keluarga anak ke-2, Rosnah; Sa’diah (anak ke-6); dan Siti Hadiah (anak ke-8) dipertanggungjawab untuk menyusun pelbagai aktiviti dan acara ke arah membina keakraban serta bertaaruf sesama keluarga.

Tambahnya, langkah itu penting bagi memastkan ahli keluarga yang terbabit dalam aktiviti seperti sukaneka akan beramah mesra antara mereka yang secara tidak langsung menjadikan lebih memahami susur galur keturunan serta saling menghormati.


Acara untuk kanak-kanak turut diadakan yang menambahkan keakraban hubungan silaturahim.


Pengerusi program berkenaan, Mahmud Buang, berkata kehadiran yang di luar jangkaan itu menandakan solidariti terbaik ahli keluarga yang menunjukkan semangat serta keinginan ingin tahu susur galur keturunan di samping memastikan hubungan terus erat dan kukuh dalam mengukuhkan silaturahim.

Jelasnya, apabila dapat berkumpul sebegini mereka akan bertanya khabar dan bertukar-tukar fikiran seperti mengenai kerjaya yang diceburi serta peluang boleh disertai untuk meningkatkan ekonomi keluarga dan sebagainya.

“Saya berasa amat terharu apabila tiada ahli keluarga merungut atau melahirkan rasa tidak puas hati kerana terpaksa menyertai program ini di luar Melaka malah berharap akan menjadi dorongan serta membuka idea kepada keluarga lain yang akan berperanan sebagai penganjur mencari lokasi lebih baik untuk 2024,” ujarnya.


Rosima Buang (duduk) menyampaikan ucapan pada program itu dengan memberi nasihat dan kata-kata semangat kepada ahli keluarga dengan ditemani adik beradik, Saadiah, Rosnah dan Ateyah.


Penasihat program itu, Rosima Buang, pula berkata silaturahim yang terjalin erat asbab hari keluarga itu, semua ahli keluarga dapat terus mengenali antara satu sama lain dan memahami diri masing-masing sama ada cucu, cicit atau piut. 

Menurutnya, daripada kesan ukhuwah itu juga bagi ahli keluarga yang dewasa sudah pasti dapat mengenali mana satu bapa atau emak saudara mereka, pertalian persaudaraan seperti sepupu di samping mengetahui diri itu sama ada cucu atau cicit.

“Susur galur keluarga ini amat perlu diketahui generasi muda kerana apabila sudah tiada mereka yang dewasa pasti sukar untuk merujuk sekiranya berlaku pelbagai perkara membabit soal keturunan seperti dalam pembahagian harta pusaka dan sebagainya.

“Mengenali antara ahli keluarga juga penting apabila berjumpa di luar daripada tempat kelahiran memberi peluang untuk menziarahi bagi mengeratkan kembali hubungan silaturahim supaya tidak terputus begitu sahaja,” katanya.


Sukaneka acara pertandingan tarik tali mengamatkan lagi suasana Program Hari Keluarga.


Selain sukaneka Program Hari Keluarga itu dimulakan dengan ekspedisi mencari harta karung membabitkan semua keluarga dalam perjalanan mereka berkenderaan dari Melaka ke Mess Greysands PDRM Si Rusa.

Program itu juga mendapat tajaan daripada syarikat Mamee, Datuk Mazlan Kesah, Datin Zuraina Ahmad serta sumbangan daripada ahli keluarga Azadi Md Diah, Rosnah, Sa’adiah dan Siti Hadiah. - KitaReporters

43
15
0
10
0

Copy Link: