Ilmu fardu ain dan hafazan al-Quran (hafiz) merupakan dua elemen penting yang saling melengkapi dalam Islam.

Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi Muslim yang seimbang dari sudut rohani serta kefahaman agama.


Ustaz Harish Munandar memberi penerangan mengenai sejarah penubuhan MDUAF kepada sukarelawan PJNH dan PJMM.


Justeru mempelajari ilmu fardu ain adalah lebih utama daripada menghafaz al-Quran kerana seseorang itu perlu mengetahui antara cara berwuduk dan solat dengan sah sebelum menumpukan perhatian sepenuhnya kepada hafazan.

Bagi seorang huffaz iaitu penghafal al-Quran, mereka merupakan pewaris ilmu agama yang berpotensi menjadi ulama pelapis apabila pemahaman mantap dalam fardu ain membolehkan mereka mengamalkan dan menyampaikan al-Quran dengan kefahaman fiqah yang tepat.


Mohiadin Bahado melakukan gimik penyerahan barangan sumbangan pelbagai pihak kepada Ustaz Harish dan Ustaz Burhanudin Edeng.


Kombinasi dua elemen itu antara teras utama Madrasah Darul Uloom Al-Fatah (MDUAF) di Jalan Depo Petra Jaya, Kuching, Sarawak, dalam memberi pendedahan pengajian ilmu agama kepada 18 pelajar yang menuntut di situ selepas beroperasi sejak 13 tahun lalu.

Mewakili Pengerusi MDUAF, Ismawi Mohammad, salah seorang pengajar di madrasah berkenaan, Ustaz Harish Munandar, berkata beliau bersama-sama enam tenaga pengajar utama berusaha untuk melahirkan pelajar hafiz yang berilmu dan faham isi kandungan dalam al-Quran supaya mampu menjadi seorang ustaz.

Menurutnya, apabila menamatkan pengajian di madrasah itu mereka akan meneruskan pengajian ke Pondok Pesantren Al-Fatah, Temboro Magetan, Jawa Timur untuk beberapa tahun sebelum menyambungkan pengajian ke luar negara sama ada di Pakistan atau Yaman.


Suraiyah Harun mengagihkan sumbangan wang saku kepada pelajar MDUAF.


Tambahnya, pihak madrasah sentiasa memberi galakan kepada pelajar untuk menyambung pengajian mendalami ilmu agama dengan secukupnya di luar negara supaya peroleh gelaran hafiz yang berilmu dan beramal.

Jelasnya, mereka nanti selepas menamatkan pengajian, sekembali ke tanah air akan mendapat peluang menjadi seorang ustaz bertugas di masjid atau surau seterusnya berkemampuan menyampaikan kuliah agama selepas mendapat tauliah dari pihak berkuasa agama di tempat masing-masing.


Aidah Jaamat menyerahkan sumbangan derma dan wang zakat individu prihatin kepada Ustaz Harish sambil diperhatikan Azman Rasman (kiri), Mohiadin dan Burhanudin.


“Setakat ini 10 pelajar MDUAF berjaya menjadi ustaz untuk mengajar pengajian agama kepada masyarakat di samping bertugas sebagai imam dan diterima dengan baik komuniti tempat mereka bertugas.

“Sepanjang operasi MDUAF ini juga sentiasa mendapat perhatian dan sokongan baik masyarakat setempat yang menghulurkan pelbagai sumbangan bagi memastikan usaha murni kami melahirkan pelajar tahfiz terus berjaya,” ujarnya ketika memberi penerangan kepada rombongan Sukarelawan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang dan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada Program Jalinan Ukhuwah, pada 16 Mei 2026.

Turut hadir pada program itu, Mudir MDUAF, Ustaz Burhanudin Edeng; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Setiausaha PJNH, Aidah Jaamat; Bendahari PJNH, Suraiyah Harun dan Pengurus PJNH, Kairul Ahmad.

Selain melawat MDUAF, rombongan sukarelawan berkenaan juga mengunjungi Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP), Hospital Umum Sarawak bagi menjalinkan ukhuwah yang diketuai ketuanya, Hamzah Bolhan.


Peserta rombongan merakamkan kenangan bersama Hamzah Bolhan (enam dari kiri).


Ustaz Harish berkata, MDUAF akan terus mengekalkan matlamat penubuhannya sejak 2013 itu dengan menjadi pusat rujukan yang relevan dan terunggul dalam pengajian ilmu Islam, dakwah serta akhlak di Sarawak.

Tambahnya, di samping itu MDUAF komited mencapai visi bagi melahirkan generasi Muslim yang unggul berpaksikan al-Quran dan sunah seterusnya mampu menyampaikan dakwah agama ke seluruh dunia.

“Dengan sokongan pelbagai pihak MDUAF terus berkeyakinan melahirkan ramai generasi ulama yang fiqah agama, berjiwa daie, berintegriti serta bertaqwa dan boleh menjadi contoh teladan terbaik,” ujarnya. - KitaReporters


Pelajar MDUAF bersama-sama peserta rombongan merakamkan kenangan bersama-sama barangan sumbangan pelbagai pihak.

18
13
1
11
0

Copy Link: