Orang ramai daripada pelbagai komuniti hadir untuk menjamu selera dan memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PJMM.


AHLI Parlimen Hulu Langat, Selangor, Mohd Sany Hamzan menyarankan supaya Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan setiap tahun menjadi platform terbaik untuk menyatupadukan serta mengerat hubungan persaudaraan komuniti di satu-satu tempat.

Beliau berkata, sebarang persengketaan yang berlaku hendaklah diketepikan dan jangan sekali-kali menjadi dendam kerana perkara itu bukanlah suatu yang baik atau memberi manfaat dalam kita menjalani kehidupan harian.

Menurutnya, buang jauh perkara dan perangai buruk itu sebaliknya bermaaf-maafan apabila berjumpa atau menjadi tetamu dalam majlis sambutan hari raya supaya keharmonian hidup dalam komuniti pelbagai bangsa serta kaum terus subur.


Mohd Sany Hamzan ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.


“Lupakan dahulu perbezaan fahaman termasuk dalam berpolitik kerana hidup dalam satu komuniti kita mesti utamakan hubungan baik, keselamatan malah sentiasa bertanya khabar disamping mudah untuk bekerjasama dalam apa juga program diadakan.

“Saya sebagai wakil rakyat yang selalu sibuk dengan tugasan akan berasa amat terharu dan berbangga dengan keadaan sedemikian apabila terus menjadi utuh yang memberi gambaran serta contoh terbaik kepada generasi baharu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 5 Mei 2024. 

Pada majlis itu beliau sempat beramah mesra khusus dengan penduduk sekitar yang hadir memeriahkan majlis berkenaan untuk menikmati lebih 30 menu yang ditaja serta disumbang pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

Turut hadir pada majlis itu Mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Azman Abu Bakar; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; dan Pengurus PJMM, Sazali Mohiden. 


Sebahagian orang ramai menikmati pelbagai makanan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PJMM.


Lebih 700 tetamu memeriahkan rumah terbuka berkenaan di samping turut diadakan majlis tahlil serta bacaan doa selamat untuk sembilan ahli keluarga dan sukarelawan PJMM yang akan menunaikan fardu haji tahun ini (2024).

Ahli pelbagai NGO seperti Yayasan Ikhlas, Kelab Penyayang Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA) turut membantu menyambut tetamu, menyelia penyediaan tempat duduk mereka yang hadir dan menu yang disediakan.

Mohd Sany turut memuji PJMM kerana walaupun sebagai pusat jagaan tetapi tetap kreatif dan aktif menganjurkan program bercorak kemasyarakatan termasuk majlis berkenaan pada saban tahun kerana secara tidak langsung memupukkan budaya serta semangat cintakan tanah tumpah negara kita. 

Beliau berkata, sehubungan itu kita hendaklah menolak sebarang anasir atau usaha yang boleh memecahkanbelahkan hidup bermasyarakat dalam komuniti kerana ia akan menanamkan sikap buruk serta kebencian antara satu sama lain.

“Kukuh dan rapatkanlah hubungan kekeluargaan serta ikatan persaudaraan antara kita semua supaya usaha kerajaan dalam membangunkan rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar supaya semua mendapat manfaat,” ujarnya.


Mohd Sany bergambar kenangan bersama-sama Dr Azman Abu Bakar (tiga dari kanan), Azman Rasman, Mohiadin Bahado dan Muhammad Syafiq Mohiadin pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 5 Mei 2024.


Sementara itu, Yang Dipertua Kelab Penyayang UKM, Ahmad Qamyl Azlan, berkata dia bersama 21 ahli berasa bertuah apabila diberi peluang oleh pengurusan PJMM untuk membantu tugas penyediaan menu makanan, penyambut tetamu, menguruskan hidangan untuk warga emas dan sebagainya.

Menurutnya, peluang itu juga membolehkan dia bersama ahli mempraktikan tugas sukarela yang perlu dilakukan apabila berada di lapangan terutama berada dalam majlis tumpuan orang ramai dengan pelbagai karenah serta pertanyaan. 

Tambahnya, seperti di pusat jagaan itu mereka belajar menyantuni warga emas seperti menghantar atau menyediakan makanan kepada mereka yang tidak dapat bergerak lancar kerana keuzuran atau berkerusi roda.

“Semua ini mendidik kami untuk bersabar dan tenang menyantuni warga emas termasuk mereka yang hadir supaya berasa selesa serta dapat menikmati hidangan yang disediakan,” katanya.


Dr Noremy Md Akhir (tengah) menerima sijil penghargaan daripada Azman kerana pembabitan Kelab Penyayang UKM pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PJMM.


Penasihat kelab berkenaan, Dr Noremy Md Akhir, berkata ahli kelab itu membabitkan semua pelajar fakulti di UKM yang diberi peluang oleh PJMM untuk menyumbang tenaga dan khidmat bakti bagi melancarkan majlis berkenaan.

“Peluang diberikan ini amat bermanfaat kepada ahli kelab untuk belajar menyesuaikan diri apabila berada dalam program atau majlis untuk melakukan tugas sukarela supaya suatu hari nanti tidak berasa kekok dan sebagainya.

“Saya berterima kasih kepada PJMM kerana menjemput kami ahli kelab ini untuk sama-sama bertugas dengan sukarelawan lain kerana berkesempatan juga untuk berkongsi pengalaman dengan mereka yang sudah lama terbabit dengan kerja sukarela,” ujarnya lagi. - KitaReporters


Warga emas bersama-sama tetamu menyertai majlis tahlil dan doa selamat diketuai Ustaz Alias Ahmad untuk ahli keluarga dan sukarelawan PJMM yang bakal menunaikan fardu haji tahun ini (2024).

20
14
0
15
0

Copy Link: