Ramadan adalah bulan mulia yang penuh rahmat dan keberkatan, keampunan serta pembebasan daripada api neraka. Ia merupakan waktu terbaik untuk meningkatkan takwa, menggandakan pahala, bersedekah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.


Mualim Muda Lukman Norhakim Sahidi (kanan), Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan dan Anas Mokhtar pada majlis Sentuhan Kasih dan Diskusi Ilmu, Seindah Ramadan di PJMM.


Allah menurunkan rahmat dan menghapuskan dosa bagi mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan. Setiap amalan kebajikan terutama bersedekah digandakan pahalanya di samping melatih kesabaran, disiplin serta meningkatkan empati sosial.

Mualim Muda Anas Mokhtar, berkata Ramadan seharusnya saling menjaga sesama kita dengan menghormati antara satu sama lain khusus yang muda menjaga serta menghormati mereka yang lebih tua terutama ibu bapa.

Justeru, menurutnya, orang bertakwa kepada Allah adalah mereka yang menjaga ukhuwah antara kita, sentiasa memupuk hubungan baik, tidak berselisihan faham atau bergaduh sebaliknya menyuburkan sifat ihsan dan saling menjaga kasih sayang.



“Jalinkan hubungan baik malah saling melengkapi antara satu sama lain dengan berpegang kepada sifat ihsan di samping menjaga hubungan dengan Allah dengan mentaati segala suruhannya, maka Allah akan sentiasa menjaga kita.

“Sentuhan kasih yang Allah hendakkan supaya umatnya memohon kemaafan segera sesama kita jika melakukan kesilapan dan bukan menunggu Aidilfitri untuk melakukannya,” ujar beliau ketika menjadi panel satu majlis Sentuhan Kasih&Diskusi Ilmu, Seindah Ramadan bersempena Program Hari Terbuka Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) pada 8 Mac 2026.

Majlis yang dipengerusikan oleh Mualim Muda Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan sebagai moderator itu turut disertai Mualim Muda Lukman Norhakim Sahidi sebagai panel kedua dan hadir sama Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; anak yatim; pelajar tahfiz; serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Setiausaha KESUMA'24, Rozita Yaakob menyampaikan sumbangan baju raya kepada wakil Tahfiz Khadijatulkubro.


Pada program itu juga diadakan acara memasak bubur lambuk, penyampaian dekorasi raya dan baju raya kepada warga emas oleh Volunteering Trip Malaysia (VTM) dan sumbangan baju raya kepada Anak-Anak Tahfiz Khadijatulkubro daripada Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24).

Anas berkata, mengenai pengorbanan seseorang anak itu tiada makna jika tidak meletakkan ibu bapanya di depan sebagai penghormatan pertama kerana Allah amat murka jika anak berkenaan mengetepikan ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan mereka.

Di samping itu, terang beliau, seorang ibu atau bapa sentiasa mendoakan kepada Allah malah mengharapkan anaknya supaya menjaga solat, tidak menjaga solat akan membuatkan ibu bapa yang sudah meninggal dunia tidak berasa tenang di dalam kubur.  

“Ibu bapa saya sendiri berpesan supaya sentiasa menjaga solat selagi nyawa dikandung badan kerana amalan sedemikian akan menjauhi mereka daripada seksaan azab kubur,” ujarnya. 


Tetamu jemputan mengaminkan doa berbuka puasa pada majlis itu.


Sementara itu, Lukman Norhakim berpendapat menempatkan ibu atau bapa di pusat jagaan tiada siapa pun bersalah sama ada di sebelah ibu atau bapa kerana tiada niat bagi seorang ibu atau bapa untuk berbuat jahat kepada anak mereka begitulah juga sebaliknya.

Menurutnya, jika niat seorang anak itu untuk memuliakan ibu atau bapa mereka supaya disantuni dengan baik atau ibu bapa berkenaan sendiri dengan rela hati untuk ditempatkan di pusat jagaan bukanlah suatu yang salah malah mungkin ada kebaikan yang tersembunyi.


Tetamu jemputan mengambil juadah untuk berbuka puasa.


Jelasnya, jika seorang ibu atau bapa itu berbuat baik dengan anak mereka, memelihara penuh kasih sayang, insya-Allah anak itu akan melakukan perkara terbaik untuk ibu dan bapanya yang sudah membesarkan serta memberi didikan sempurna.

Beliau berkata, untuk mengelak kecelakaan daripada Allah pada Ramadan hendaklah memperbanyak beristighfar serta memohon keampunan daripada Allah kerana kehidupan yang sempit akan menjadi luas disamping hidup sentiasa tenang.

“Berusahalah bangun malam untuk beramal ibadat dan ampunkan segala kesilapan orang terhadap kita insya-Allah, Allah akan memberi keredaan kepada seseorang itu dan amat terbaik pada ramadan ini,” ujarnya. - KitaReporters


Datuk Hairil Yahri (empat dari kanan) bersama Lukman Nurhakim, Anas dan Muhammad Asyraf selepas menyampaikan cenderamata. 

14
8
1
14
0

Copy Link: