Sukarelawan CleanHero Sdn Bhd mencuci tilam penghuni pusat jagaan berkenaan.


BERKAT Ramadan sumbangan mencurah untuk membantu Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor,  yang menempatkan lebih 30 penghuni lelaki dalam kalangan warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), tiada waris selepas sekian lama terlantar di hospital dan mereka yang disisih ahli keluarga.

Mengambil langkah dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi membanteras Covid-19 tidak menghalang empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan kepada pusat jagaan itu yang beroperasi sejak tahun 2006.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Pusat Jagaan Nur Hasanah


Pengerusi pusat berkenaan, Mohiadin Bahado, berkata pihaknya berasa bertuah dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 masih ada pihak yang prihatin untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan pusat itu.

Menurutnya, kunjungan daripada Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM), kakitangan CleanHero Sdn Bhd, Suhan Biotechs Sdn Bhd (yang menghasilkan produk kesihatan Adraa By Rosyam) dan ahli Puspanita Lembaga Perlesenan Tenaga Atom bermula pada 27 April minggu lalu adalah di luar jangkaan.


Mohiadin (kiri) menerima sumbangan peralatan dapur daripada PUGM.


Beliau berkata, beberapa kakitangan CleanHero yang mengadakan lawatan turut bergotong-royong mencuci tilam penghuni secara percuma di samping menghulurkan sumbangan berupa bahan pencuci untuk digunakan pusat berkenaan.

Katanya, PUGM pula menyumbangkan pelbagai peralatan serta barangan keperluan asas khusus untuk digunakan di dapur pusat itu selain baju dan duit raya kepada penghuni yang setiap tahun menyambut Hari Raya Aidifitri bersama-sama rakan di situ.


Mohiadin (kiri) memberi taklimat ringkas mengenai pusat jagaan itu kepada kakitangan daripada Suhan Biotechs Sdn Bhd, yang menghasilkan produk Adraa By Rosyam.


“Pusat jagaan amat menghargai sumbangan ini kerana dapat membantu meringankan kos penyelenggaraan di samping dapat menggunakan perkakas baharu bagi menggantikan peralatan lama di dapur,” kata Mohiadin.

Kakitangan Suhan Biotechs Sdn Bhd dan ahli Puspanita Lembaga Perlesenan Tenaga Atom pula turut menyumbangkan pelbagai barangan kepada pusat jagaan itu termasuk kepada penghuni untuk berasa gembira menyambut Aidilfitri nanti.


Ahli Puspanita Lembaga Perlesenan Tenaga Atom menyampaikan sumbangan kepada wakil pusat jagaan berkenaan.


Mohiadin berkata, kakitangan Suhan Biotechs Sdn Bhd memperkenalkan pelbagai produk jenama Adraa By Rosyam yang bersesuaian untuk digunakan oleh penghuni di situ bagi memulihkan kesihatan dan menguatkan antibodi.

Menurutnya, seperti ahli Puspanita Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, pihak Adraa By Rosyam & Suhan Biotechs Sdn Bhd turut menyumbangkan pelbagai barangan untuk pusat itu serta juga kepada penghuni yang uzur dan menghadapi  masalah kesihatan kerana rata-rata mereka berumur antara 60 tahun dan 85 tahun.


Seorang penghuni pusat jagaan yang berkerusi roda menerima sumbangan Aidilfitri.


Katanya, dalam taklimat ringkas kepada NGO terbabit beliau menerangkan banyak perkara termasuklah pengurusan pusat jagaan itu yang banyak dibantu pelbagai pihak seperti dalam kalangan individu dan syarikat korporat.

“Saya menerangkan pusat jagaan ini banyak bergantung kepada sumbangan dan derma bagi membolehkan beroperasi bagi mengurus dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk penghuni yang tiada tempat bergantung untuk meneruskan sisa hidup,” kata beliau. 

Kepada pelbagai pihak yang ingin menghulurkan bantuan atau ingin mengadakan program khidmat masyarakat di pusat jagaan itu boleh menghubungi nombor telefon pejabat 03-87668100 dan sumbangan boleh disalurkan ke dalam akauan CIMB-8002 260491. - KitaReporters 

Mohiadin (tengah) memberikan penerangan mengenai pengurusan pusat jagaan itu kepada sukarelawan CleanHero Sdn Bhd.

16
1
0
0
1

Copy Link: