Tertumpah air mata usahawan kosmetik dan juga pelakon, Wawa Zainal apabila warga emas mengalunkan lagu Allah Selamatkan Kamu serta Selamat Hari Jadi apabila petugas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor menyorong keluar Kek Pulut Kuning di atas troli makanan.


Aeril Zafrel melihat Wawa memotong Kek Pulut Kuning sempena sambutan hari kelahiran beliau sambil diperhatikan oleh Muhammad Syafiq Mohiadin dan Pengerusi PJMM, Azman Rasman.


Kejutan yang dirancangkan pengurusan PJMM bersama-sama warga emas itu adalah untuk meraikan ulang tahun kelahiran Wawa ke-34 yang menyebabkan beliau ditemani suaminya pelakon Aeril Zafrel tidak dapat menahan sebak dan menitis air mata.

Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata majlis itu dirancangkan apabila beberapa warga emas mengesyorkan kepada kami untuk membuat kejutan kerana mereka memang sentiasa menanti kedatangan Wawa setiap Ramadan.


Wawa dan Aeril mengagihkan sumbangan duit raya kepada warga emas lelaki serta wanita.


Tambahnya, kelibat usahawan dan juga pelakon suami isteri itu sudah tidak asing lagi bagi warga emas PJMM kerana tahun 2026 merupakan tahun ketiga mereka menyantuni penghuni untuk bertanya khabar dan berbuka puasa bersama-sama.

“Kami rahsiakan kejutan ini supaya semua yang hadir khusus warga emas apabila tidak dapat menahan kesayuan kerana menganggap Wawa dan Aeril umpama anak mereka yang amat dirindui,” ujar Muhammad Syafiq yang turut mengetuai membaca doa selamat.

Kehadiran Wawa bersama Aeril serta kakitangan syarikat Wawa Kosmetik ke PJMM adalah bagi menyempurnakan Majlis Wawa Ramadan Kasih ‘Berkongsi Rezeki Mengikat Hati’, untuk menaja Iftar Ramadan di samping menyampaikan cenderamata, duit raya kepada warga emas dan sumbangan barangan asas keperluan harian, pada 13 Mac 2026.


Sebahagian warga emas lelaki gembira menerima sumbangan produk Wawa Kosmetik.


Wawa dalam ucapan pada majlis itu, menzahirkan rasa bersalah kerana hanya dapat menyantuni warga emas di PJMM hanya setahun sekali kerana terlalu sibuk dengan kekangan tugas menguruskan syarikatnya.

Tambahnya, namun begitu beliau akan usahakan juga dan menetapkan tarikh sesuai untuk hadir ke PJMM kerana sudah menganggap warga emas sebagai ibu bapanya sendiri yang merindui anak mereka terutama menjelang Syawal.

“Saya amat tersentuh hati melihat warga emas ini terutama yang uzur dan berasa amat bersyukur dapat ziarah mereka bersama suami kerana sekurang-kurangnya menghilang kerinduan kepada anak bagi menyambut Aidilfitri,” ujarnya.


Wawa dan Aeril melakukan gimik penyerahan sumbangan barangan asas keperluan harian serta cenderamata produk Wawa Kosmetik kepada Pengerusi PJMM, Azman Rasman (kanan).


Aeril pula berkata, dia dan isterinya walaupun sibuk mereka akan menetapkan masa untuk bersama warga emas di PJMM yang sudah dianggap ‘rumah’ untuk berkongsi rezeki di atas kejayaan perniagaan syarikat mereka.

Menurutnya, dia berasa terkejut dan berasa sedih ada warga emas yang disantuni dua tahun lalu sudah tiada bersama kerana meninggal dunia disebabkan sakit tua atau menghidap penyakit serius.

“Saya berharap mereka dapat mendoakan untuk saya dan isteri semakin maju dalam perniagaan serta diberikan kesejahteraan kesihatan supaya dapat terus berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan bantuan atau sokongan,” katanya. - KitaReporters


Wawa dan Aeril merakamkan kenangan bersama-sama warga emas dan pengurusan PJMM.

17
13
2
16
0

Copy Link: