Sambutan Hari Ibu pada 10 Mei 2026 bukanlah suatu kemestian namun ia sebagai menghargai dan menghormati pengorbanan, kasih sayang serta jasa seorang ibu yang tidak ternilai dalam mendidik dan membesarkan anak.


Yusni Hamid memberi kata-kata semangat kepada warga emas di PJMM sebelum menyampaikan lagu.


Ia juga sebagai pengiktifaran terhadap ibu yang berperanan tanpa mengenal penat lelah membentuk nilai serta kekuatan keluarga, pengorbanan dan doa ibu yang tidak pernah putus untuk anak hatta dalam sujud tetap dititipkan doa.

Namun begitu ia mungkin berbeza dengan 20 warga emas wanita yang lapan daripadanya terlantar di atas katil apabila hanya mampu memendam rindu dan terbeban dengan kesedihan selepas disisihkan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Sungai Purun, Semenyih, Selangor.


Yusni menggagahi diri untuk menyampaikan lagu bagi menghiburkan hati warga emas.


Tiada siapa yang datang menjenguh mereka pada Hari Ibu itu, tetapi keceriaan tidak dirancangkan dibawa oleh penyanyi legenda yang popular dengan lagu Kau Yang Kunanti, Datuk Yusni Hamid bersama-sama aktivis masyarakat Datin Noraini @ Anne Selamat, Datin Noormala Mohd Yusoff serta Ahli Jawatankuasa Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), pada 11 Mei 2026.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; dan Pengurus PJMM, Mat Khairul Bashar Mat Hadzir.

Pada program santai minum petang itu, warga emas wanita terbabit yang sudah beberapa seketika tidak sabar menunggu ketibaan penyanyi legenda berkenaan menunjukkan reaksi perubahan wajah yang ceria dan tersenyum gembira apabila Yusni datang menyapa.


Yusni berduet dengan seorang warga emas, Pakcik Ariffin yang menggamatkan lagi program santai itu.


Walaupun terpaksa bertongkat untuk berjalan dan berkerusi roda, Yusni tetap menggagahi diri untuk menghampiri warga emas dengan menyampaikan beberapa lagu evergreennya (malar segar) termasuk lagu Kaulah Ibuku.

Yusni berkata, sepatutnya dia bersama isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali untuk hadir bagi menyantuni warga emas wanita dan lelaki bersempena Hari Ibu, namun kerana sesuatu tidak dapat dielakkan beliau tidak dapat hadir.

Menurutnya, sebagaimana memenuhi janji dia tetap hadir memandangkan warga emas di pusat jagaan itu sudah diibaratkan seperti ibu dan bapa sendiri yang amat merindui ahli keluarga khusus anak-anak terutama pada hari penuh bermakna.

Tambahnya, dia berasa amat terharu apabila melihat wajah warga emas tersenyum gembira malah mengikuti mengalunkan lagu disampaikan kerana rata-rata daripada mereka sebaya dirinya yang pernah terhibur dengan lagu-lagu beliau sebelum tersisih di pusat jagaan itu. 

“Selagi ada kudrat saya akan menyantuni mereka ini dalam apa sahaja program kerana warga emas itu amat bermakna kepada saya walaupun bukan saudara mara, malah antara kerja amal kebajikan pada usia sebegini di samping menjadi contoh serta teladan kepada orang lain,” ujarnya.


Noraini mengagihkan cenderahati tuala muka kepada warga emas.


Sementara itu, rakan karib beliau, Noraini berkata, walaupun program itu tidak dapat dihadiri Dr Siti Hasmah yang begitu bersemangat untuk hadir menyantuni warga emas tetapi kami tetap menghargai kesungguhan beliau bagi menyuntik kegembiraan bersempena Hari Ibu.

Jelasnya, kehadiran Yusni memang dinanti-nanti warga emas terbabit yang sudah dimaklumkan kerana dalam beberapa program sebelum itu penyanyi legenda berkenaan sering hadir untuk menghiburkan mereka disamping bertanya khabar dan beramah mesra.

“Insya Allah jika keadaan mengizinkan saya dan beberapa aktivis masyarakat akan cuba membawa Dr Siti Hasmah pada masa akan datang terutama bagi memenuhi hasrat beliau untuk bersama-sama warga emas disamping menikmati minum petang,” katanya. - KitaReporters


Yusni (duduk) merakamkan kenangan bersama ahli KESUMA'24 dan aktivis masyarakat, Noormala Mohd Yusoff (kiri).

15
16
1
9
0

Copy Link: