Pewujudan Pusat Wanita Berdaya (PWB), khususnya di Selangor, di bawah kerangka Ekonomi Madani dan Kerajaan Negeri, adalah antara usaha untuk memperkasa wanita melalui pendekatan pembangunan ekonomi dan sosial yang komprehensif.


Suri rumah dan ahli PWB mempelajari cara membuat kek dan tart nanas.


PWB akan membantu wanita meningkatkan taraf ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara melalui pelbagai latihan dan aktiviti seperti kraf tangan, jahitan, gubahan serta masakan dilaksanakan pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membabitkan aktif dalam kerja sosial, pembangunan diri dan kemahiran.

Melalui pelbagai aktiviti PWB itu ia juga akan membantu wanita memantapkan aspek kepemimpinan mereka dan menggalakkan penglibatan dalam membuat keputusan di samping membangunkan potensi sebagai agen perubahan aktif dalam masyarakat serta mampu memupuk jati diri yang dinamik.

Rentetan itu PWB DUN Semenyih, Selangor mencipta kejayaan tersendiri apabila sepanjang sesi tahun 2024-2025 berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti bagi membantu wanita khususnya suri rumah mendapatkan ilmu untuk berdikari menerusi kemahiran kraf tangan seperti nyaman, jahitan, gubahan atau pun masakan.


Membuat kuih apam gula hangus secara santai di kawasan rekreasi turut memberi keseronokan kepada peserta aktiviti PWB.


Penyelia PWB DUN berkenaan, Normala Abd Malik, berkata menerusi aktiviti yang dianjurkan itu juga memberi manfaat terbaik dalam membentuk ukhuwah dalam masyarakat apabila menghimpunkan wanita daripada pelbagai bangsa dan agama di satu tempat untuk menimba ilmu menjana pendapatan keluarga walaupun seorang suri rumah.

Tambahnya, PWB juga memperkukuhkan lagi hubungan komuniti, meningkatkan kemahiran, memupuk kerjasama serta memberi impak sosial positif membina jalinan semangat muhibah dan perpaduan pelbagai kaum seperti mana menjadi cita-cita Kerajaan Malaysia Madani.

Menurutnya, aktiviti yang diadakan pada hujung minggu atau hari bekerja itu sentiasa mendapat sambutan daripada wanita dalam kalangan suri rumah juga beliawanis lepasan sekolah menengah untuk mempelajari cara membuat barangan kraf tangan, gubahan serta masakan yang boleh menjadi sumber pendapatan.


Pembabitan pelbagai kaum dalam kalangan suri rumah mengeratkan lagi ukhuwah perpaduan dalam aktiviti PWB DUN Semenyih.


“Sebagai penyelia saya akan memastikan mereka yang hadir dalam aktiviti yang diadakan itu akan mendapat manfaat semaksimum atau pun sebagai asas untuk terus hadir pada minggu berikutnya bagi melengkapkan kemahiran supaya mampu berdikari.

“Kerana itu saya akan memastikan ahli PWB akan terbabit secara langsung dalam aktiviti diadakan untuk bertindak sebagai pembimbing atau pemudah cara bagi melancarkan gerak kerja disamping meringankan tugasan mereka dijemput khusus dalam menunjukkan kepakaran membuat  barangan kraf tangan, gubahan, jahitan dan juga masakan,” ujarnya.

Normala berkata, sepanjang sesi tahun 2024-25 itu, dia menggunakan sebaik mungkin semua dewan komuniti, balai raya atau surau di kampung serta taman perumahan sebagai lokasi aktiviti PWB yang secara tidak langsung menepati konsep keselesaan dan berdekatan dengan tempat kediaman suri rumah.


Ahli PWB turut menyantuni suri rumah dengan menyertai aktiviti beriadah.


Menurutnya, berikutan dilantik sekali lagi sebagai Penyelia PWB DUN Semenyih untuk sesi tahun 2026–2027, dia akan meningkatkan lagi kerjasama khusus dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menambahkan lagi slot membuat barangan kerja tangan juga menu masakan terkini.

Tambahnya, untuk membuat kraf tangan seperti bakul, beg, tudung saji daripada barangan terbuang dan menu masakan, PWB merancang akan menambahkan produk seni kerja tangah berkenaan bukan setakat belajar membuat kek, dodol, kuih wajik, western food dan sebagainya khusus yang boleh menjana pendapatan isi rumah dan keluarga.

Jelasnya, beliau juga akan meningkatkan penganjuran untuk mengadakan program seperti seminar atau kursus untuk meningkatkan taraf kesihatan keluarga, perkara berkaitan keganasan rumah tangga serta melawat ke kilang industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai pendedahan kepada ahli.


 

Normala Abd Malik (kanan) menerima surat pelantikan sebagai Penyelia PWB DUN Semenyih untuk sesi tahun 2026–2027 daripada Ahli Exco Negeri Selangor, Anfaal Saari.


“Maklumat yang diperoleh dalam siri lawatan itu akan dikongsi suri rumah yang terbabit dalam aktiviti PWB supaya mampu menghasilkan produk seperti IKS berkenaan dalam memperluaskan usaha menjana pendapatan keluarga.

“Aktiviti yang dianjurkan PWB sentiasa mendapat sokongan daripada pemimpin dan aktivis masyarakat termasuklah Penyelaras DUN Semenyih yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abd Aziz yang turut turun padang untuk melihat sendiri supaya lebih memahami manfaat yang diperoleh wanita khususnya suri rumah,” ujar Normala lagi.


Normala Abd Malik (tengah) bersama suri rumah yang menyertai aktiviti nyaman beg plastik.

21
6
1
9
0

Copy Link: