MASIH ada ruang dan belum terlambat untuk kita menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus berkhidmat untuk rakyat Malaysia dalam menangani wabak Covid-19 sehingga negara mendapat pengiktirafan dunia. Pengorbanan, kecekalan, kesungguhan, jasa dan keringat mereka sama ada dari sektor awam, swasta dan sukarelawan yang bertugas tanpa sempadan wajar dihormati serta dihargai semua lapisan rakyat. : KitaReporters


Rentetan itu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lekang merakamkan penghargaan kerajaan kepada petugas barisan hadapan atau frontliners atas kerja keras dan kecemerlangan mereka sehingga wabak Covid-19 mampu ditangani dengan baik.


Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Permuafakatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Balakong di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Daerah Hulu Langat, Selangor mengunjungi enam agensi yang terbabit secara langsung sebagai barisan hadapan bagi menyampaikan sijil penghargaan dan sumbangan cenderamata, baru-baru ini.

Jawatankuasa Permuafakatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Balakong mengunjungi enam agensi yang terbabit dalam barisan hadapan bergambar bersama-sama Pengerusi KRT Suadamai BTHO, Datuk Dr Abd Rahim Mohamad (tiga dari kanan). 


Antara agensi dalam daerah Hulu Langat itu ialah Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) dan Sungai Chua, Balai Polis Batu 9, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Balai Bomba BTHO.

Sumbangan itu adalah inisiatif daripada 16 komuniti KRT dalam Zon Balakong dan KRT Suadamai BTHO bertindak sebagai tuan rumah bagi menyediakan pelbagai barangan cenderamata untuk diberikan kepada petugas barisan hadapan terbabit.

Jawatankuasa Permuafakatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Balakong bersama-sama Ketua Klinik Kesihatan BTHO, Dr Maryem Sukhandan (depan tiga dari kanan). 


Ketua Klinik Kesihatan BTHO, Dr Maryem Sukhandan melahirkan rasa terharu dengan kunjungan jawatankuasa berkenaan ke klinik itu sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan yang gigih melaksanakan tugas membanteras wabak Covid-19.

 “Saya dan kakitangan klinik ini tidak menjangkakan akan dihargai sebegini rupa kerana kami hanya melaksanakan tugas sebagaimana diamanahkan kerajaan bagi membantu rakyat dan berasakan amat bangga sekali,” katanya.

Dr Maryem Sukhandan 


Ketua Balai Bomba BTHO, Zafiruddin Mohd Nasir turut terkejut dengan kunjungan jawatakankuasa bagi menyampaikan sijil dan sumbangan cenderamata kepada anggota yang bertugas dalam barisan hadapan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa terbabit kerana menghargai anggota bomba yang bertugas dalam barisan hadapan dan kami sentiasa bersedia berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.

Ahmad Rizal (depan kiri) bersama-sama anggota Balai Bomba BTHO dan jawatankuasa terbabit. 


Pegawai Pejabat Perpaduan Daerah Hulu Langat, Ahmad Rizal Abd Razak, berkata sumbangan itu tidak seberapa jika dibandingkan dengan jasa dan amanah yang dipikul barisan hadapan dalam membantu negara membanteras wabak Covid-19.

“Kami terharu dengan sikap berani dan bertanggungjawab mereka yang sanggup meninggalkan keluarga untuk berada dalam barisan hadapan sekali pun sedar risiko bakal dihadapi mereka demi menyelamatkan rakyat,” katanya. - KitaReporters

Anggota Balai Polis Batu 9, Cheras, Selangor turut mendapatkan penghargaan daripada jawatankuasa terbabit. 


Jawatankuasa Permuafakatan KRT Zon Balakong turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada pasukan JPAM.

10
2
0
0
0

Copy Link: