KSL Hotel & Resort, Johor Bahru menjadi lokasi berlangsungnya JISLC 2023.


SERAMAI 1,300 peserta mewakili 26 negara menghadiri Persidangan Antarabangsa Johor di bawah nama ‘8th Johor International Student Leaders Conference 2023’ (JISLC 2023) yang akan diadakan di KSL Hotel & Resort, Johor Bahru pada 22 hingga 25 Februari 2023.

Persidangan yang dianjurkan oleh ahli pemimpin muda Johor Student Leaders Conference (JSLC) selama empat hari itu bertemakan ‘Revolutionising Sights : Reversing Stigmas’ dan mendapat sambutan daripada peserta berusia di antara 13 tahun hingga 25 tahun dari Amerika Syarikat, Jepun, Switzerland, Jordan, Somalia, China, India, Mongolia, Uzbekistan, Korea Selatan, New Zealand, Morocco, Pakistan, Jerman, Greece, Brunei, Vietnam, United Kingdom, Myanmar, Cambodia, Laos, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Malaysia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemimpin muda

Felicia Liau Qin Yu


Pengarah Projek JISLC 2023, Felicia Liau Qin Yu, berkata JISLC merupakan persidangan antarabangsa yang diketuai sekumpulan pemimpin muda berusia 17 tahun dari Johor ‘Student Leaders Conference’ (JSLC) Kohort-11.

Jelas beliau, persidangan itu menyediakan sebuah platform bertaraf antarabangsa yang menggalakkan belia muda untuk memberi pendapat berkenaan dengan isu-isu vital terhadap pembangunan negara.

Menurutnya, persidangan berkenaan akan mempamerkan potensi, cabaran dan aspirasi belia untuk masa hadapan. Walau bagaimanapun, persidangan itu lain daripada yang lain dengan penambahan aktiviti dalam trend yang pasti memikat penonton belia.

“Beberapa pakar daripada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dunia korporat dijemput untuk memberi ucapan pada persidangan ini. 

“Ucaptama akan disampaikan oleh warga Malaysia pertama ke angkasa lepas, Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha dan artis visual media yang berpusat di Kuala Lumpur, Sharina Shahrin,” katanya.


Ahli Majlis Pemimpin Muda Johor Kohort 11 yang terbabit dalam Penganjuran Persidangan Antarabangsa ‘8th Johor International Student Leaders Conference 2023’ (JISLC 2023), bermula 22 hingga 25 Februari 2023.


JSLC ditubuhkan sebagai  kumpulan elit pemimpin pelajar dan bakat muda yang luar biasa dari Johor. Gerakan itu dimulakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) serta mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri Johor.

Felicia berkata, objektif JSLC bukan sahaja untuk mengasah kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar cemerlang Johor, tetapi  juga bertujuan untuk memobilisasikan pendidikan pengantarabangsaan di bawah program 'Internationalisation of Schools Programme'. 

Jelas beliau, program itu juga selaras dengan prinsip 'For the Students, By the Students' yang menunjukkan pemerkasaan pemimpin muda dalam kalang pelajar untuk merancang, mengatur dan menggerakkan program berskala besar dalam melahirkan modal insan berdaya saing yang mampu berusaha serta bersaing di mana-mana platform.

“Jawatankuasa penganjur JISLC 2023 adalah daripada 19 ahli daripada JSLC Kohort- 11, yang menyahut cabaran untuk mengadakan program sebesar ini,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai persidangan antarabangsa itu orang ramai serta pihak berkenaan boleh mengikuti JSLC Kohort -11 di Instagram @jslcohort11 atau dengan melayari www.jslca.org. - KitaReporters


Ahli Majlis Pemimpin Muda Johor merakam kenangan selepas mengadakan latihan terakhir.

19
18
0
14
0

Copy Link: