LEMBAGA Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menandatangani penyambungan memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, pada 27 April 2024.

Majlis diadakan di Pentas Utama, pekarangan Tapak Food Truck Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI itu diadakan serentak dengan pelaksanaan Program Lestari Art 1.0 2024 anjuran Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif UPSI.

Memorandum itu ditandatangani Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Amerrudin Ahmad.

Majlis menandatangani MoU disaksikan oleh Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LPSVN, Alizam Hasan. Hadir sama pada majlis berkenaan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Abdul Rahim Razalli. 


Dr Md Amin Md Taff (tiga dari kiri) bertukar dokumen MoU dengan Amerrudin Ahmad di Tapak Food Truck FBK, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI


Dr Md Amin, berkata UPSI sentiasa komited dalam sebarang bentuk usaha sama dengan agensi luar bagi memperkasa kepelbagaian bidang kebudayaan selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurutnya, melalui pemeteraian memorandum itu, kerjasama antara LPSVN dan UPSI dapat diteruskan dalam membangunkan industri seni visual negara.

MoU berkenaan juga, katanya, dilihat mampu menjadi platform bagi percambahan idea melalui kolaborasi antara kedua-dua pihak. 

"Selain itu, kerjasama yang terjalin secara tidak langsung dapat membuka ruang untuk meneroka pelbagai informasi baharu mengenai seni menerusi penganjuran pelbagai program seni, simposium, konferensi, kursus pendek serta perbincangan penyelidikan berkaitan seni," ujarnya.


Amerrudin (kanan) melihat pameran barangan kraftangan. - Foto ihsan UPSI.


Sementara itu, Amerrudin, berkata Balai Seni Negara berharap supaya pemeteraian MoU berkenaan mampu memberi impak yang tinggi kepada kedua-dua pihak.

"Balai Seni Negara selaku peneraju seni visual tempatan sentiasa cakna dan proaktif dalam meningkatkan usaha untuk merangka inisiatif yang lebih besar bagi meningkatkan perkembangan ekosistem seni visual tanah air.

“Program dan aktiviti anjuran Balai Seni Negara boleh diikuti dalam media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my,” ujarnya. - KitaReporters

14
13
0
11
0

Copy Link: