DUTA Romania ke Malaysia dan Brunei, Nineta Barbulescu yang mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, pada 21 Februari  2024 lalu melahirkan rasa kagum dan teruja terhadap seni dan budaya Malaysia. 

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, yang menyambut kunjungan delegasi Kedutaan Romania itu turut berkongsi sejarah penubuhan universiti berkenaan serta portfolio menyeluruh berkaitan perkembangan UPSI yang terkini.

Prof Dr Md Amin, berkata UPSI terkenal sebagai institusi yang melahirkan guru untuk memajukan pendidikan rakyat di negara ini dengan mempunyai kursus berkaitan seni visual untuk melahirkan guru seni yang kreatif mengajar di sekolah seluruh negara.

“Dalam perkongsian sejarah ini juga, saya memaklumkan lokasi UPSI sangat cantik dan berupaya menarik pengunjung kerana terletak di sisi Banjaran Titiwangsa,” katanya.


Nineta Barbulescu (kanan) dibawa melawat bangunan warisan Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM).


Sementara itu, antara inti pati perbincangan, Nineta Barbulescu menjemput UPSI menyertai konsortium yang ditubuhkan oleh kerajaan Romania berkaitan meta-data, sains, matematik dan bidang-bidang lain.  

Selain itu, beliau turut mempelawa UPSI untuk mewujudkan satu ruang aktiviti kerjasama perkongsian silang budaya yang memfokuskan kebudayaan, fesyen, kesenian, makanan tradisional antara Malaysia dan Romania.

Dalam sesi perbincangan selama dua jam  itu, Nineta juga turut menzahirkan rasa teruja beliau terhadap seni halus tradisional Malaysia.

Menurutnya, “batik di Malaysia mempunyai banyak persamaan dengan corak (motif) seni Romania” di mana beliau juga turut berkongsi hobi melukis. 

Tambahnya, lukisan adalah satu aspek yang boleh dikembangkan sebagai salah satu instrumen perkongsian silang budaya dalam bidang seni halus antara Malaysia dan Romania.


Nineta Barbulescu (tiga dari kiri) dan Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (empat dari kanan) bergambar di lobi Bangunan Canselori bersama pegawai kanan UPSI. 


Beliau turut berkesempatan merasai pengalaman mengelilingi kampus UPSI dengan menaiki  “Sightseeing Buggy Tourism”, produk baharu yang diperkenal oleh Bahagian Komunikasi Korporat (BKK).

Delegasi Kedutaan Romania turut dibawa melawat Perpustakaan Tuanku Bainun, Galeri Seni dan Muzium Pendidikan yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Strategik, Prof Madya Dr Azmi Mohamad; Pengarah Akademik dan Antarabangsa, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus; Pengarah Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC), Prof Dr Khoo Yin Yin; serta Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM)  Prof Dr Tajul Shuhaizam Said. - KitaReporters


Prof Madya Dr. Azmi (kanan) memberikan penerangan berkaitan sejarah penubuhan dan perkembangan daerah Muallim di Galeri Muallim, Perpustakaan Tuanku Bainun. 

23
13
0
9
0

Copy Link: