Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan laluan pendidikan berasaskan kemahiran praktikal (50-70% amali) direka untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang relevan dengan keperluan industri di samping memfokuskan kepada pembangunan modal insan berteknologi tinggi.

Di bawah Kerajaan Madani, TVET diperkukuhkan melalui strategi penyelarasan semua kementerian dan agensi dengan menawarkan lebih 1.2 juta peluang latihan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri teknologi tinggi.


Muhamad Faris Najwan Muhamad pada hari konvokesyen IKBN Kuala Perlis.


Peluang yang disediakan oleh kerajaan itu tidak dipersia oleh bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu (SMKWB), Kelantan, Muhamad Faris Najwan Muhamad apabila kini beliau memiliki kemahiran tinggi dalam jurusan teknologi marin selepas menamatkan pengajian selama tiga tahun di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kuala Perlis.

Menurutnya, kemahiran terbina itu mungkin didorong oleh minat terhadap membaik pulih enjin kenderaan yang dipraktik sendiri ketika berusia 15 tahun dengan membaiki enjin motosikal ‘Honda Fame’ peninggalan arwah datuknya terbiar rosak tanpa sebarang kemahiran dan hanya merujuk maklumat dalam YouTube apabila berjaya melakukan proses ‘overhaul’ sehingga pulih seperti sedia kala.

Malah bekas pelajar SMKWB itu, bukan setakat berjaya menghidupkan semula enjin motosikal berkenaan malah mampu mengubahsuainya untuk mengharungi air banjir bergenang paras pinggang di Kampung Semat Jal tempat dia menetap bersama keluarga.


Muhamad Faris membaik pulih enjin di atas kapal di tengah laut.


Tambahnya, ketika menuntut di Tingkatan lima SMKWB, dia antara pelajar dalam kelas belakang namun tidak pernah mengecewakan hati dia malah tetap memberi tumpuan dengan belajar sehingga menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jelasnya, selepas berbincang dengan kedua-dua ibu bapanya, mereka bersetuju serta mengizinkannya untuk meneruskan pengajian dalam jurusan teknologi marin apabila mendapat tawaran dari IKBN Kuala Perlis pada tahun 2021 sehingga berjaya peroleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga pada tahun 2023.

“Selepas itu saya menjalani latihan industri di Aims Global Enggenering di Pulau Duyung, Terengganu selama dua bulan lebih bermula Ogos 2023 yang mendedahkan kepada kerja di lapangan sebenar dan secara tidak langsung membuka mindanya dengan lebih luas untuk mempraktik kerjaya teknologi marin sebenar,” ujarnya ketika dihubungi.


Muhamad Faris bergerak ke lokasi untuk melakukan kerja membaik pulih enjin.


Muhamad Faris berkata, selepas latihan industri itu dia mendapat tawaran kerja dengan James Fisher Offshore yang berpangkalan di Pasir Gudang, Johor Baharu bermula Jun 2024 dan membuka episod baharu dalam hidupnya sebagai ‘Junior Technician’ serta mula memikul tugas berkaitan kejuruteraan selain kerja-kerja urus selenggaraan mesin.

Tambahnya, tiga bulan selepas itu dia menghadapi cabaran lebih besar apabila bermulanya perjalanan dalam kerja kejuruteraan mesin dengan merentas negara bermula di bandar Taichu, Taiwan kemudian ke Australia untuk melakukan kerja di atas kapal di tengah laut selama beberapa minggu.

Jelasnya, sekembali ke Pasir Gudang dia melakukan kerja-kerja di pangkalan sebelum mendapat arahan untuk ke India pula selama sebulan kemudian meneruskan kembali tugasnya di daerah Foster, Australia di atas kapal di tengah laut.


Bersama rakan setugas ketika Muhamad Faris membaik pulih enjin di India.


Menurut beliau, walaupun terpaksa meninggalkan tanah air dan keluarga berminggu-minggu atau berbulan-bulan, dia melahirkan rasa bersyukur berjaya mencapai impiannya untuk bekerja dalam teknologi marin malah dapat membukti pelajar kelas belakang mampu cemerlang dalam kerjaya hasil usaha Kerajaan Madani mengukuhkan TVET.

“Hasil pengajian di IKBN walaupun setakat sekeping sijil bukanlah suatu yang dipandang rendah malah dengan kemahiran hasil tunjuk ajar pensyarah serta latihan industri memberi peluang dan membuka jalan untuk seseorang itu berjaya seterusnya maju ke depan.

“TVET yang diwujudkan oleh kerajaan bukanlah suatu yang sia-sia malah memacu tenaga mahir dari Malaysia untuk berkerja pada peringkat antarabangsa seperti saya dan bagi pelajar yang berasa diri lemah dalam pelajaran jangan mudah kecewa masih ada peluang untuk berjaya dalam kemahiran walaupun memegang sekeping SKM,” ujarnya.


Muhamad Faris melahirkan rasa bersyukur dengan TVET dan SKM Tahap 3 dari IKBN Kuala Perlis dia ke persada antarabangsa.


Muhamad Faris (tengah) bersama rakan pelajar ketika mengikuti kelas jurusan teknologi marin semasa di IKBN Kuala Perlis.

25
16
1
12
0

Copy Link: