Menu yang menarik dengan harga berpatutan menjadikan Glaze Eatery pilihan mereka yang berkunjung ke Cyberjaya.


MENYEDARI kesusahan pekerja dan pelajar mendapatkan makanan dengan harga berpatutan mendorong bekas pelajar Multimedia University (MMU) Cyberjaya membuka kafe yang menghidangkan menu pelbagai makanan Barat dan tempatan pada harga berpatutan.

Kafe diberi nama Glaze Eatery yang beroperasi di Tamarind Square, Persiaran Multimedia, Cyberjaya, Selangor sejak lima tahun lalu itu, kini menjadi tumpuan ramai pelanggan daripada pelbagai bangsa untuk menjamu selera pada waktu tengah hari, petang dan malam.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan restoran-restoran

Fateen Aqeela Zamaludin (tengah) bersama rakan-rakan bapanya Datuk Zamaludin Kasman (dua dari kiri) yang sering hadir menjamu selera sebagai tanda sokongan.


Pemiliknya, Fateen Aqeela Zamaludin, berkata pembukaan kafe itu adalah daripada pengalaman dia sendiri ketika belajar di MMU apabila mendapati begitu sukar mencari kafe atau restoran yang menawar menu bersesuaian untuk pelajar dengan harga murah.

Menurutnya, kafe atau restoran yang ada ketika itu menawarkan harga makanan yang agak mahal dan sudah tentu membebankan pelajar yang belajar di universiti  atau sekolah sekitar Cyberjaya manakala menu makanan pula kurang menarik serta tidak banyak pilihan untuk dijamah.

Jelasnya, selepas menamatkan pengajian dan mendapat sokongan keluarga khusus daripada bapa Datuk Zamaludin Kasman, dia memberanikan diri membuka kafe berkenaan dengan menawarkan pelbagai menu makanan Barat serta tempatan dan tidak menyangka mendapat sambutan menggalakkan hingga sekarang.


Fateen Aqeela Zamaludin


“Layanan mesra dan sentiasa menjaga kualiti menu masakan serta minuman menjadi teras saya dalam perniagaan ini terutama untuk memastikan pelanggan khusus pekerja pejabat atau syarikat dan pelajar di sekitar berasa berbaloi berbelanja  di Glaze Eatery.

“Paling menggembirakan kafe ini menjadi tumpuan pelbagai bangsa dan kaum yang seolah-olah Glaze Eatery berjaya mewujudkan suasana harmoni dan semangat perpaduan Keluarga Rakyat Malaysia,” katanya.

Fateen Aqeela berkata, kejayaan itu mendorong dia membuka cawangan baharu di kawasan perniagaan Eco Majestic, Semenyih yang turut menawarkan menu sama bagi memudahkan  mereka yang bekerja serta belajar di kawasan berkenaan menjamu selera dengan harga berpatutan sejak Ogos 2022.


Fateen Aqeela melihat pekerja menyiapkan minuman yang ditempah pelanggan.


Perkembangan itu Glaze Eatery kini memiliki 50 pekerja bagi dua lokasi berkenaan dengan majoriti adalah dalam kalangan remaja tempatan yang masih belajar dan bekerja secara sambilan bagi mencari duit poket di samping pekerja tetap.

Glaze Eatery beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga 12 malam. Antara menu makanan Barat dan tempatan yang ditawarkan seperti Butter Chicken, Soy Glazed Chicken, Thai Basil Chicken, Burger, Nasi Lemak, Mee Goreng, Masak Lemak Cili Api, pelbagai hidangan roti serta kek dan banyak lagi.

Menurutnya, langkah mengambil pekerja dalam  kalangan pelajar suatu amal kebajikan kerana tidak semua mereka itu daripada keluarga yang senang serta memerlukan wang menampung kos belajar di universiti seperti dia dahulu.


Fateen Aqeela (kanan) memantau pekerja mengemas kini pesanan yang diterima daripada pelanggan di Glaze Eatery, Cyberjaya.


Jelasnya, mereka itu jugalah yang membantu mempromosi Glaze Eatery kepada ahli keluarga yang berkunjung ke Cyberjaya bagi mencari restoran untuk menjamu selera dengan harga berpatutan bersama-sama anak atau ahli keluarga,

Secara kebetulan pula, pada hujung minggu terutama pada hari Sabtu dan Ahad kafe dia memang menjadi tumpuan mereka yang membawa keluarga untuk menjamu selera selepas penat membeli belah di pasar raya atau berjalan- jalan sekitar Cyberjaya.

“Saya amat menghargai kunjungan mereka kerana dapat menyediakan menu makanan barat serta tempatan untuk mereka nikmati bersama-sama anak atau ahli keluarga dengan kos belanja yang tidak terlalu mahal.

“Saya kini dalam perancangan untuk mengubahsuai bahagian dalam kafe ini bagi kelihatan lebih menarik serta memberi keselesaan kepada pelanggan yang dijangka akan dilakukan pada Ramadan nanti,” katanya. - KitaReporters


Glaze Eatery menjadi pilihan pelbagai kaum untuk menjamu selera dan bersantai bersama ahli keluarga.

31
15
0
8
0

Copy Link: